Bahasa Melayu Pengukuhan Ilmiah Malaysia dan China

Bahasa Melayu terbukti menjadi lambang pengukuhan hubungan ilmiah dan diplomasi pendidikan antara Malaysia dan China khususnya ketika kedua-dua telah sekian lama menjalinkan hubungan akrab.

Duta Besar Malaysia ke China, Dato’ Norman Muhamad berkata hal ini dapat dilihat melalui kewujudan 17 buah institut pengajian tinggi (IPT) di China yang menawarkan pengajian bahasa Melayu, sekali gus menggalakkan penggunaannya di negara “Tembok Besar” ini.

Beliau berkata penubuhan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU) turut mencerminkan usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu di China.

“Penamaan Kursi Pengajian Melayu di BFSU dengan nama Sultan Ibrahim, sempena lawatan negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke China pada September 2024, dan ia telah menjadi saksi dan bukti bahawa institusi diraja Malaysia terus memayungi usaha-usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu di negara ‘Tembok Besar’ ini,” katanya.

Menurut Dato’ Norman, semasa pertemuan antara Sultan Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping pada 16 April lalu di Malaysia, Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk menggiatkan promosi Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim, di samping menggalakkan pertukaran bahasa antara Malaysia dengan China.

Tegasnya, usaha mempergiat promosi bahasa Melayu perlu digerakkan secara bersama bagi mewujudkan sinergi dalam penghayatan serta memastikan penguasaan bahasa tersebut dapat dirasai dan dimanfaatkan oleh para penuturnya.

Dato’ Norman juga menggesa agar fakulti bahasa memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menjadikan pembelajaran lebih interaktif, efisien dan mudah diakses.

“Mendepani ledakan gelombang AI, fakulti pembelajaran bahasa perlu mengambil peluang penggunaan teknologi itu untuk menjadikan proses pembelajaran sesuatu bahasa itu lebih interaktif, efisien dengan akses yang lebih meluas. Ini akan merancakkan minat para pelajar untuk mendalami dan menguasai sesuatu bahasa dengan mudah dan lebih berkesan”, katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian dan Makan Malam sempena Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China Kelima yang berlangsung di Beijing pada Khamis.

Pada majlis tersebut, Dato’ Norman turut melancarkan buku berjudul ‘Selongkar Budaya, Bahasa dan Sosiologi dalam Terjemahan China-Melayu’ yang menghimpunkan hasil kajian penyelidikan oleh pengkaji dari Malaysia dan China.