MOTAC Gesa Kuasa Kawal Selia Pengangkutan Pelancongan Dikembalikan

PUTRAJAYA, 11 Jun — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini menggesa supaya kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan dikembalikan kepada kementerian itu susulan nahas bas di Gerik, Perak pada Isnin lepas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam satu kenyataan hari ini, MOTAC menyifatkan insiden berkenaan bukan sekadar tragedi jalan raya serius, malah mendedahkan kelemahan ketara dalam sistem keselamatan pengangkutan pelancongan negara.

Menurut kenyataan itu, kemalangan tersebut turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakan antarabangsa, termasuk peserta program pelancongan dan pertukaran pelajar dari ASEAN, Timur Tengah, China, Jepun dan Korea Selatan.

“Ia menjejaskan keyakinan terhadap mekanisme jaminan keselamatan pengangkutan pelancongan negara, khususnya ketika Malaysia sedang giat membuat persediaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026),” menurut kenyataan itu.

MOTAC memaklumkan bahawa kuasa kawal selia pengangkutan pelancongan sebelum ini terletak di bawah kementerian berkenaan menerusi Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594), namun telah dipindahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Bagaimanapun, pemindahan kuasa tersebut dikatakan menyebabkan ketiadaan rangka kerja pengawalseliaan menyeluruh yang merangkumi keperluan perkhidmatan pelancongan, ciri keselamatan pelancong serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa.

“Kekosongan kawal selia ini menimbulkan risiko kepada keselamatan pelancong, termasuk lebih 500 pelajar pertukaran antarabangsa yang dijadual tiba di Sabah antara hujung bulan ini hingga Ogos,” menurut kenyataan itu.

MOTAC memaklumkan bahawa pihaknya sebelum ini telah mencadangkan beberapa langkah pembaharuan keselamatan, seperti had masa pemanduan lapan jam sehari untuk pemandu bas pelancongan, dua pemandu bagi perjalanan jauh, rehat wajib, ujian air kencing sebelum perjalanan, pemasangan sistem pengesanan GPS, serta insurans mandatori.

Namun begitu, menurut MOTAC, kekangan kuasa penguatkuasaan menyebabkan langkah-langkah tersebut tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Sehubungan itu, MOTAC menyeru kerjasama semua pihak berkaitan, khususnya Kementerian Pengangkutan, bagi mengatasi kekangan sedia ada dan mempercepatkan proses mengembalikan kuasa pengawalseliaan kepada MOTAC.

“Hanya dengan tindakan ini, imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat, dipercayai dan sejajar dengan piawaian antarabangsa dapat dibina semula,” katanya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda