PUTRAJAYA, 27 Mac — Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh negara tidak akan beroperasi pada 31 Mac dan 1 April ini bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Semua pejabat LHDN di seluruh negara akan kembali beroperasi seperti biasa pada 2 April, kecuali Melaka dan Sabah yang akan beroperasi mulai 3 April.
Ia susulan pengumuman kerajaan Melaka sebelum ini iaitu cuti umum 1 Ramadan yang kebiasaannya diberikan kepada penduduk negeri tersebut telah ditukar kepada Hari Raya ketiga bermula tahun ini, manakala di Sabah, 2 April diisytiharkan sebagai hari kelepasan am sempena sambutan ulang tahun rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan pembayar cukai digalakkan untuk melaksanakan sebarang urusan percukaian secara dalam talian melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my/ bagi mengelakkan sebarang kesulitan serta memastikan proses transaksi berjalan dengan lebih pantas dan efisien.
“Di kesempatan ini, LHDN ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pelanggan yang beragama Islam. Semoga perayaan ini membawa kebahagiaan, keberkatan dan kesejahteraan kepada semua,” menurut kenyataan itu.
Tinggalkan Balasan