87 Warga Jepun, Ahli Keluarga Dipindahkan Susulan Konflik Iran-israel

TOKYO, 20 Jun — Seramai 87 warga Jepun dan ahli keluarga mereka dipindahkan dari Iran dan wilayah yang dikuasai Israel berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah, menurut kerajaan Jepun pada Jumaat.

Agensi Berita Kyodo melaporkan bahawa kumpulan berkenaan tiba di Azerbaijan dan Jordan dengan menaiki bas, selepas lapangan terbang tempatan ditutup.

Tiada sebarang isu kesihatan dilaporkan dalam kalangan kumpulan itu, kata Menteri Luar Takeshi Iwaya.

Daripada jumlah itu — termasuk enam warga asing — seramai 66 orang berlepas dari Tehran dan tiba di Baku awal pagi Jumaat, manakala 21 orang bertolak dari Tel Aviv dan tiba di Amman pada petang Khamis, menurut Kementerian Luar Jepun.

Kerajaan kini sedang mengatur pemindahan seterusnya dari Iran seawal Sabtu, kata Iwaya.

“Memandangkan situasi masih sangat tegang, kerajaan akan melindungi rakyat Jepun dengan memberi keutamaan tertinggi,” katanya.

Menurut kementerian itu, kira-kira 220 warga Jepun masih berada di Iran, manakala sekitar 1,000 orang masih berada di wilayah dikuasai Israel selepas operasi pemindahan dilaksanakan.

Konflik antara kedua-dua negara terus memuncak apabila Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran minggu lalu, dengan alasan Tehran hampir memperoleh senjata nuklear — satu dakwaan yang dinafikan oleh negara itu.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda