KOTA KINABALU, 21 Jun — Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dimulakan sejak April tahun lepas dijangka selesai Ogos ini, antara lain bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang lebih responsif dalam mengawal selia industri e-dagang dan melindungi kepentingan pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kajian itu kini berada di fasa akhir, sebelum segala cadangan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi pertimbangan dan kelulusan, seterusnya dikemukakan ke Parlimen untuk penggubalan atau pindaan undang-undang berkaitan.
Beliau berkata antara akta yang berkait secara langsung dengan sektor e-dagang di bawah kementerian ialah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perdagangan Elektronik 2006
“Kita sasar untuk memuktamadkan kajian ini hujung tahun ini, termasuk keputusan sama ada akan diperkenalkan kerangka perundangan baharu atau hanya meminda akta sedia ada agar lebih kondusif, komprehensif dan relevan dengan cabaran serta keperluan semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pendigitalan Perniagaan 2025 peringkat negeri Sabah di Universiti Malaysia Sabah, di sini, hari ini.
Armizan berkata antara objektif utama kajian itu adalah untuk mengenal pasti perundangan berkaitan e-dagang, skop kawal selia, kekangan undang-undang sedia ada, serta membuat perbandingan dengan pelaksanaan undang-undang e-dagang di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata kajian itu turut merangkumi keperluan industri dan pengguna e-dagang, selain mengemukakan cadangan kerangka perundangan baharu atau pindaan undang-undang serta kaedah kawal selia terbaik untuk dipertimbangkan kerajaan.
“Setakat ini, kita tidak mempunyai kawal selia secara langsung terhadap pengendali atau penjual di platform e-dagang. Masih belum ada keputusan sama ada kita akan memperkenalkan rejim pelesenan atau bentuk pematuhan tertentu.
“Matlamat kita bukan semata-mata menggubal undang-undang baharu, tetapi mewujudkan mekanisme kawal selia yang boleh menyokong pembangunan ekosistem perniagaan e-dagang. Kita tidak mahu kerangka perundangan ini kelak menjadi penghalang kepada pertumbuhan sektor berkenaan,” katanya.
Armizan turut memaklumkan bahawa sesi dialog awam bersama pemain industri akan diadakan pada 17 Julai depan bagi mendapatkan pandangan dan input berkaitan pelaksanaan perundangan e-dagang.
Sepanjang kajian dijalankan katanya, sebanyak 63 entiti daripada sektor awam, swasta dan industri telah dilibatkan dalam sesi libat urus, termasuk kaji selidik bersama firma dan pengguna platform e-dagang.
“Semua input yang diperoleh akan diteliti secara menyeluruh dan disusun dalam bentuk syor dasar yang komprehensif,” jelasnya.
Armizan berkata sektor e-dagang dijangka mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM1.65 trilion tahun ini.
Tinggalkan Balasan