KDN Teliti Tindakan Isu Kesilapan Infografik Ketua Polis Negara – Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA, 23 Jun — Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti isu penyiaran maklumat tidak tepat melibatkan Ketua Polis Negara ke-15 Datuk Seri Mohd Khalid Ismail oleh sebuah media tempatan baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan melihat dari semua sudut termasuk tindakan undang-undang atau mengadakan libat urus dengan media berkenaan.

“Kalau perlu, kami akan panggil mereka untuk memberikan penjelasan dan kami berpeluang menyampaikan kepada mereka bahawa pelaporan secara bohong dan tidak bertanggungjawab itu memberi implikasi besar.

“Kalau itu kami buat, jangan kerajaan ini dilihat sebagai kerajaan yang tidak menghormati kebebasan media,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.

Saifuddin Nasution yang kesal dengan laporan oleh media berkenaan berkata kesilapan mengaitkan Mohd Khalid sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap serius memandangkan ia melibatkan reputasi pegawai tertinggi dalam agensi penguatkuasaan terbesar negara.

“Fakta yang dikongsi terlalu jelas ketika profil biodata itu menyebut tentang kesemua pengalaman Datuk Seri (Mohd) Khalid di hujung itu dengan disengajakan dimasukkan walhal pada ketika itu pihak polis telah mengeluarkan profil sahih yang rasmi,” katanya.

Beliau berkata sebagai media yang sudah lama bertapak, seharusnya faham disiplin pelaporan termasuk keperluan mengesahkan ketepatan maklumat terlebih dahulu, terutama jika membabitkan pegawai kanan polis yang berkhidmat puluhan tahun tanpa sebarang pengesahan dan semakan.

“Takkanlah tiada usaha langsung untuk menghubungi dan mengesahkan, sedangkan pada masa sama di luar sana perbezaan politik dan sentimen kebencian terus disemarakkan.

“Untuk segmen (masyarakat) yang macam ini, bila dihidangkan berita sebegitu, ia ibarat orang mengantuk disorongkan bantal dan lalu ditularkan seperti api merebak pada musim kemarau,” katanya.

Saifuddin Nasution turut membidas sikap media berkenaan yang menyatakan kesilapan itu sebagai tidak disengajakan tanpa mengambil kira kesan besar yang telah berlaku.

“Macam mana nak mengawal api tular yang menyemarakkan kebencian macam itu. Kalau itu keadaannya, apa pilihan kita ada? Kalau umpamanya kita mengambil tindakan keras, ini (dikatakan) adalah Kerajaan MADANI yang tidak menghormati kebebasan media.

“Kebebasan melaporkan fakta tepat dan sahih, kebebasan untuk mengulas secara tanggungjawab tapi bukan bebas untuk menyebarkan pembohongan yang memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat terhadap institusi polis tentang reputasi Ketua Polis Negara baharu. Hal ini memberi kesan besar,” katanya.

Terdahulu, Saifuddin Nasution dalam ucapan berkata laporan melibatkan pegawai kanan polis perlu melalui semakan fakta dan bukan disiarkan sesuka hati.

“Bila masa dia ahli? Saya Setiausaha Agung 14 tahun, dari ahli kosong sampai 1.1 juta. Kat mana ahli pimpinan Datuk Khalid ni? Tak pernah datang mesyuarat ke apa? Memang saya tak pernah nampak dia,” katanya.

Pada 20 Jun lepas, sebuah media tempatan menerusi media sosial Instagram, telah menyiarkan infografik memaparkan latar belakang Mohd Khalid yang menimbulkan kekeliruan mengenai pembabitannya dalam politik.

Berikutan itu, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh telah mengesahkan bahawa Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli PKR, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti itu.

Media berkenaan sudah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan maklumat yang disiarkan di laman Instagram mereka serta menggantung tugas kakitangan terlibat dalam penerbitan infografik berkenaan.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda