Saham TNB Susut Dalam Dagangan Awal Selepas Pengumuman Semakan Semula Jadual Tarif

KUALA LUMPUR, 23 Jun — Saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) menunjukkan aliran rendah dalam dagangan awal hari ini selepas pengumuman semakan semula jadual tarif bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) di bawah kerangka kerja kawal selia berasaskan insentif (IBR) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

Pada 10.10 pagi, saham TNB susut enam sen kepada RM14.16 sesaham dengan sebanyak 177,300 saham didagangkan.

TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata dagangan saham syarikat utiliti nasional itu digantung selama satu jam pada awal dagangan dan disambung semula pada 10 pagi.

Suruhanjaya Tenaga sebelum ini mengumumkan purata tarif asas elektrik baharu sebanyak 45.4 sen/kWj, berkuat kuasa 1 Julai 2025 hingga 31 Dis 2027 di bawah RP4.

TNB berkata pelaksanaan semakan semula tarif elektrik di Semenanjung Malaysia adalah positif bagi syarikat itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR); dan syarikat itu komited untuk memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan berterusan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menerusi nota penyelidikan berkata TNB akan mendapat manfaat daripada asas aset dikawal selia (RAB) yang lebih tinggi bermula 2025 di bawah RP4-5 baharu (2025-2030) berikutan keperluan segera untuk menaik taraf grid bagi peralihan tenaga dan menyokong pertumbuhan pusat data dan pembangunan tenaga boleh baharu.

Ia memberikan penarafan “Beli” dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM16.20.

Sementara itu, CIMB Securities berkata kesan berkenaan dijangka neutral terhadap TNB.

“Tanpa mengambil kira perubahan tarif,  kerangka  IBR membolehkan pelarasan kawal selia dilaksanakan supaya TNB memperoleh kadar pulangan kawal selia ke atas RAB,” katanya.

Bank pelaburan itu turut mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham TNB, dengan menekankan risiko penurunan termasuk kos operasi lebih tinggi berbanding jangkaan, gangguan loji janakuasa yang tidak dijadualkan dan perbelanjaan modal luar jangka RP4 yang lebih rendah daripada jangkaan.

“Di bawah RP4, RAB dijangka berkembang baik, dipacu oleh capex asas yang lebih tinggi sebanyak 12 peratus kepada RM26.6 bilion, dan capex luar jangka sebanyak RM16.3 bilion,” katanya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda