BOGOTA, 27 Jun — Angka korban akibat tanah runtuh yang melanda barat laut Colombia pada Selasa meningkat kepada 14 orang, dengan 12 lagi masih hilang, beberapa cedera dan hampir 1,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis, lapor Xinhua.
Pasukan mencari dan menyelamat sedang menjalankan operasi 24 jam di kawasan terjejas di kejiranan El Pinar di bandar Bello, dengan harapan untuk menemukan mangsa yang masih hidup, kata Datuk Bandar Lorena Gonzalez pada sidang media.
“Operasi masih diteruskan. Kami masih berharap dapat menemukan mangsa yang masih hidup,” katanya sambil menggesa penduduk supaya segera berpindah dari kawasan berisiko tinggi.
Ketua agensi pengurusan bencana dan risiko bagi wilayah Antioquia, Carlos Rios, memberi amaran bahawa hujan lebat yang masih berterusan dan keadaan tanah yang tidak stabil boleh menyebabkan tanah runtuh tambahan.
“Penting untuk ditegaskan bahawa hujan tidak akan berhenti,” katanya sambil memaklumkan bahawa penggera khas dan kamera telah dipasang di kawasan berkenaan bagi memberi amaran awal kepada pasukan penyelamat yang sedang mencari mangsa hilang dan menguruskan mayat.
Kementerian Pertahanan Colombia memaklumkan bahawa anggota dengan anjing pengesan dikerahkan untuk membantu usaha mencari dan menyelamat, manakala tentera membantu memindahkan keluarga dari kawasan berisiko tinggi.
Tinggalkan Balasan