Johor Catat Kadar Pertumbuhan KDNK Tertinggi 2024 – DOSM

JOHOR BAHRU, 1 Julai — Johor muncul sebagai negeri dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia pada 2024, mencatatkan 6.4 peratus mengatasi purata nasional 5.1 peratus, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini. 

Menurut DOSM dalam satu kenyataan, nilai KDNK Johor mencecah RM158.0 bilion pada 2024 disokong oleh kedudukannya yang strategik di selatan Semenanjung, jaringan infrastruktur moden, pelabuhan bertaraf antarabangsa serta kawasan perindustrian yang luas dan berdaya saing.

Ia berkata perkembangan pesat pembangunan pusat data di negeri itu menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

“Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus yang didorong oleh pelaburan berskala besar dalam pusat data.

“Peningkatan yang memberangsangkan dapat dilihat dalam subsektor kewangan dan insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang berkembang 8.7 peratus, di samping prestasi kukuh dalam subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mencatat pertumbuhan 6.0 peratus,” menurut DOSM.

Sektor pembinaan di Johor melonjak 42.7 peratus pada 2024, didorong oleh projek-projek pembinaan bangunan dan kejuruteraan awam termasuk pencawang kuasa, sistem penyejukan canggih serta rangkaian fiber optik berkapasiti tinggi.

“Pembangunan infrastruktur digital ini turut menyokong sektor pembuatan yang meningkat 4.2 peratus, dipacu oleh produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, serta produk elektrik, elektronik dan optikal yang masing-masing berkembang 7.1 peratus dan 1.9 peratus,” menurut kenyataan itu.

Dalam sektor pertanian, Johor merupakan pengeluar utama hasil pertanian negara dengan menyumbang sebanyak 17.3 peratus kepada KDNK pertanian Malaysia pada 2024.

Ia berkata sektor pertanian di negeri itu turut berkembang, pulih kepada 4.2 peratus daripada penyusutan 1.3 peratus pada tahun sebelumnya, dipacu oleh pengeluaran kelapa sawit yang lebih tinggi.

“Peningkatan ini turut merangsang prestasi produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan, dan pemprosesan makanan yang meningkat 6.7 peratus, sekali gus mendorong kepada pertumbuhan sektor pembuatan,” katanya.

Pada 2023, Johor mencatat pertumbuhan 4.1 peratus dengan KDNK bernilai RM148.6 bilion.

Prestasi cemerlang ini mengukuhkan kedudukan Johor sebagai negeri yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda