Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Mata Wang Utama, Dolar AS

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Ringgit dibuka lebih rendah berbanding mata wang utama, termasuk dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu apabila data pengguna AS yang lebih lemah mempengaruhi sentimen pelabur dan mengurangkan selera minat dalam pasaran pertukaran asing.

Pada 8 pagi, ringgit menurun kepada 4.0795/0850 berbanding dolar AS daripada 4.0790/0850 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Keyakinan Conference Board merosot kepada 81.9 mata pada September, iaitu paras terendah sejak April, 2014.

“Berdasarkan maklum balas tinjauan, kebanyakan rakyat Amerika mengaitkan sentimen pesimistik itu dengan kos barangan dan perkhidmatan yang tinggi, khususnya harga minyak dan gas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain keyakinan pengguna, data Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan dan Pergerakan Tenaga Kerja (JOLTS) juga mencatatkan angka lebih rendah pada bulan Ogos iaitu sebanyak 7.079 juta, di bawah anggaran konsensus sebanyak 7.23 juta.

Mohd Afzanizam berkata trend tersebut telah menunjukkan penurunan sejak April tahun ini, bagaimanapun Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.17 peratus kepada 101.372 mata, memandangkan para pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS kekal dengan pendirian untuk mengetatkan dasar monetari.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding euro kepada 4.6257/6320 daripada 4.6235/6303 ketika ditutup pada Selasa, merosot berbanding pound Britain kepada 5.3960/4032 daripada 5.3937/4016 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.5921/5958 daripada 2.5869/5909.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.1921/1969 daripada 3.1885/1934 ketika ditutup semalam dan menguncup berbanding baht Thailand kepada 12.1540/1759 daripada 12.1402/1632 sebelumnya.

Unit tempatan tidak banyak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 226.9/227.2 daripada 226.8/227.2 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.52/6.53.