Lagu Raya Douglas Lim Tonjol Realiti Perpaduan Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Mac — Lirik kreatif melucukan serta irama yang catchy, lagu raya Aidilfitri di Malaysia karya Douglas Lim bukan setakat memeriahkan lagi sambutan 1 Syawal tetapi secara langsung menggambarkan realiti perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Hanya melibatkan bukan Islam dalam video muzik itu, Lim, 47, secara santai bercerita tentang bagaimana kaum lain juga “tertunggu-tunggu” untuk merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan rakan beragama Islam.

Bercakap kepada Bernama, penghibur serba boleh ini berkata objektif utama lagu itu ialah untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri” kepada umat Islam di negara ini, selain turut menyumbang kepada kemeriahan sambutan lebaran sebagai rakyat Malaysia. 

“Pada saya, perpaduan di Malaysia terbentuk secara semula jadi kerana kita sering berinteraksi dengan kawan-kawan berlainan bangsa di tempat kerja, pusat beli-belah atau kedai makan.

“Cuma kadang-kadang ada berita tentang perselisihan faham antara kaum yang lebih diberi perhatian, walaupun insiden sedemikian jarang berlaku dan hanya isu kecil,” katanya yang turut menampilkan Murty dan Chelsia Ng sebagai rakan duet dalam lagu itu.

Bercakap tentang cabaran dalam menghasilkan video muzik itu, Lim berkata semuanya berlaku secara semula jadi.

“Saya hanya menunjukkan realiti di Malaysia, di mana kepelbagaian itu memang wujud,” katanya yang berharap lagu tersebut dapat menyemarakkan semangat Aidilfitri dalam kalangan masyarakat bukan Melayu serta mendorong lebih ramai untuk mengenali dan meraikan perayaan tersebut.

“Walaupun saya tidak merancang untuk menghasilkan lagu bertemakan perpaduan, apabila membaca komen dan maklum balas, saya gembira melihat ramai yang berasakan kehangatan (perpaduan) itu. Ini adalah negara kita, di mana masyarakat berbilang bangsa turut serta dalam kemeriahan hari raya,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, proses penyusunan lagu itu dilakukan dengan berbincang dan bertukar idea bersama-sama rakan pelbagai kaum.

“Lagu ini juga merupakan penghormatan kepada lagu-lagu raya lama yang terkenal,” katanya, menjelaskan tentang beberapa bahagian lagu malar segar yang turut digemblengkan dalam Aidilfitri di Malaysia.  

Setakat laporan ini ditulis, video muzik lagu itu merekodkan lebih 600,000 tontonan di Instagram pelawak berkenaan serta 342,000 tontonan di saluran YouTube@TheDouglasLim dalam tempoh tujuh hari ditayangkan. 

Selain Lim, turut tular beberapa video muzik raya yang dihasilkan oleh masyarakat Cina di negara ini, antaranya oleh kumpulan  3P dan 1119 Dance House Crew. 

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda