Gabungan Pemuda Serah Memorandum Bantah Nick Adams Sebagai Duta

KUALA LUMPUR, 18 Julai — Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan gabungan pemuda parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) serta mahasiswa hari ini menyerahkan satu memorandum rasmi kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bagi membantah pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.

Timbalan Ketua AMK Malaysia Izuan Kassim dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga wakil penganjur telah diterima masuk ke dalam kawasan kedutaan dan dimaklumkan bahawa memorandum itu akan disampaikan kepada pihak pentadbiran Amerika Syarikat untuk perhatian lanjut.

Beliau berkata gabungan tersebut menuntut agar pencalonan itu ditarik balik dan meminta calon baharu yang lebih moderat, profesional dan menghormati sensitiviti Malaysia dilantik. 

“Tugas seorang duta adalah menjadi jambatan antara dua negara, jadi kami tidak mahu orang yang sepatutnya menjadi jambatan, memusnahkan jambatan itu.

“Inti pati memorandum menolak pencalonan ini atas beberapa sebab utama, termasuklah retorik yang memecahbelahkan, pandangan cenderung Islamofobia, sokongan terbuka terhadap Zionisme, kenyataan seksis dan tidak menghormati kesaksamaan jantina serta tidak mencerminkan semangat diplomasi yang profesional dan seimbang,” katanya.

Menurut Izuan, penyerahan memorandum tersebut menyaksikan penyertaan kira-kira 100 peserta dari pelbagai latar belakang mewakili suara rakyat Malaysia yang prihatin terhadap masa depan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Turut terlibat dalam penyerahan memorandum itu ialah gabungan daripada pemuda AMANAH, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), IKRAM Muda dan Mahasiswa AMANAH.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda