KUALA LUMPUR, 30 Julai — Malaysia giat memperkukuh kerjasama pelancongan dua hala dengan Vietnam sebagai sebahagian persiapan strategik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan pasaran dan memperluas jalinan kerjasama dalam kalangan penggiat industri pelancongan kedua-dua negara.
“Lawatan kami bertujuan mempererat kerjasama pelancongan antara Malaysia dan Vietnam, khususnya dalam merangka asas bagi penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui promosi pasaran yang lebih giat dan penglibatan industri lebih meluas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Kehadiran Tiong pada mesyuarat itu disambut oleh Presiden Persatuan Pelancongan Bandaraya Ho Chi Minh (HTA) Nguyen Thi Khanh serta beberapa Naib Presiden dan wakil persatuan.
Meskipun setiap tahun Vietnam mencatat kira-kira 10 juta pelancong berkunjung ke luar negara, namun hanya sebahagian kecil daripada jumlah ini memilih Malaysia sebagai destinasi.
“Kita berharap mampu mengubah keadaan itu dengan memperkenalkan promosi bersama, pakej bersepadu serta menawarkan pengalaman lebih menarik untuk menggalakkan pelancong Vietnam meneroka Malaysia, khususnya di bandar sekunder serta tarikan budaya dan alam semula jadi di Perak, Pahang, Melaka, Sarawak dan Sabah,” katanya.
Tiong turut mencadangkan penganjuran Festival Makanan dan Budaya Malaysia di Ho Chi Minh bagi memperkenalkan warisan tradisi, kulinari dan tawaran pelancongan yang disediakan.
Tinggalkan Balasan