Kerja Pemulihan Projek Residensi Hektar Gombak Bermula Hari Ini, Dijangka Siap 2027 – Nga

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Kerja pemulihan Projek Residensi Hektar Gombak bermula hari ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata projek melibatkan 2,400 unit kediaman itu adalah antara projek perumahan terbengkalai terbesar yang terhenti sejak dimulakan pada 2018 akibat pelbagai masalah.

“Setelah berbulan-bulan kita bertungkus lumus, Jabatan Perumahan Negara dan KPKT selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI kita telah pun membuat pelbagai usaha dan berjaya mendapat suntikan modal yang baru sebanyak RM125 juta untuk selamatkan projek ini,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata langkah menyelamatkan projek berkenaan sebahagian daripada inisiatif agresif kerajaan sejak penubuhan awal Kerajaan MADANI, termasuk penubuhan pasukan khas bagi menangani isu projek perumahan swasta yang terbengkalai.

Nga turut memberi amaran keras bahawa sekiranya pemaju gagal menyiapkan projek pembinaan mengikut jadual dan menyerahkan kunci menjelang 2027, beliau tidak teragak-agak untuk menyenarai hitam pemaju, termasuk ahli lembaga pengarah sekali gus memastikan mereka tidak lagi terlibat dalam industri.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini sebanyak 1,127 projek perumahan terbengkalai membabitkan sejumlah 135,211 pembeli berjaya diselamatkan, dengan nilai pembangunan keseluruhan bernilai RM106.48 bilion.

Beliau berkata kerajaan turut berjaya menyelesaikan beberapa projek terbengkalai lain, termasuk Rumah Ladang Estet di Selangor yang terbengkalai selama 27 tahun, projek Bestari Jaya, Selangor (20 tahun) serta Perumahan Rakyat (PPR) Putera Kiansom di Kota Kinabalu, Sabah yang bermula sejak Rancangan Malaysia Kelapan.

Beliau berkata kejayaan menyelamatkan projek berkenaan membuktikan kesungguhan dan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyejahterakan rakyat menerusi pendekatan proaktif dan kerjasama semua pihak termasuk penjawat awam.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda