Perbincangan antara Menteri Luar China, Wang Yi dan rakan sejawatnya dari India, Subrahmanyam Jaishankar telah diadakan di sini semalam waktu tempatan.
Wang berkata, konsensus yang dicapai Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri India, Modi dalam pertemuan di Kazan, Rusia pada Oktober tahun lalu merupakan satu kejayaan yang signifikan yang boleh membuka lembaran baru dalam hubungan kedua-dua negara.
“Tahun ini ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik China-India. Kedua-dua pihak perlu mengambil iktibar daripada pengalaman dalam tempoh 75 tahun lalu, melihat satu sama lain sebagai rakan kongsi yang boleh membawa peluang kerjasama dan bukannya pesaing atau ancaman, menumpukan sumber yang berharga dari pihak masing-masing untuk pembangunan dan perkembangan, di samping meneroka pendekatan yang betul untuk diplomasi kejiranan yang menekankan prinsip saling menghormati dan mempercayai, hidup secara damai, bekerjasama untuk pembangunan dan situasi sama menang.
“China konsisten dalam memegang konsep ‘muhibah, ikhlas, manfaat bersama, keterangkuman dan komuniti berkongsi nasib’, dan bersedia bersama dengan negara-negara jiran termasuk India meningkatkan usaha pada lima aspek melibatkan keamanan, ketenteraman, kemakmuran, keindahan dan persahabatan,” ujar Wang.
“China dan India perlu memperkukuh keyakinan, mengekalkan trend pembaikpulihan hubungan bilateral, dan sebagai dua ekonomi utama dunia yang berlatarbelakangkan tamadun Oriental mewujudkan kepastian dan kestabilan yang sangat diperlukan oleh Asia bahkan seluruh dunia,” tambah beliau.
Sementara itu, Jaishankar pula berkata, hubungan India-China yang stabil, kooperatif, dan berwawasan selaras dengan kepentingan kedua-dua negara. Taiwan adalah sebahagian wilayah China. India bersedia memanfaatkan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik kedua-dua negara sebagai satu peluang untuk terus memupuk rasa saling percaya dengan China dalam bidang politik, meningkatkan kerjasama saling menguntungkan dalam bidang ekonomi dan perdagangan, mendorong interaksi sosiobudaya serta bersama-sama melindungi keamanan dan ketenteraman di kawasan sempadan.
“India memberi sokongan yang sepenuhnya kepada China dalam menganjurkan Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tianjin, dan bersedia untuk meningkatkan koordinasi dan kerjasama dengan China dalam mekanisme multilateral seperti BRICS,” kata Jaishankar.
Tinggalkan Balasan