Aktiviti Liputan Bersama ‘China Walk: Vibrant Hainan’ Dilancarkan

Aktiviti Liputan Bersama ‘China Walk: Vibrant Hainan’ dan Seminar untuk Rakan Media ASEAN dilancarkan di Sanya, provinsi Hainan pada Isnin.

Ketua Pengarah Jabatan Publisiti Jawatankuasa Provinsi Hainan Parti Komunis China (PKC), Wang Bin ketika berucap pada majlis pelancaran aktiviti itu berkata, Pelabuhan Perdagangan Bebas (FTP) Hainan yang dijadual menjalankan operasi kastam bebas bermula 18 Disember tahun ini, akan mencetuskan peluang baharu kepada kerjasama antara Hainan dengan ASEAN.

“Setelah melancarkan operasi kastam bebas, Hainan akan memperkasakan kerjasama dengan negara-negara ASEAN dalam bidang ekonomi dan perdagangan, memanfaatkan dasar keutamaan seperti RCEP dan potensi kerjasama, sekali gus menawarkan prospek yang menarik untuk Hainan dan negara-negara ASEAN dalam bidang ekonomi dan perdagangan,” katanya. 

Naib Pengarah Pusat Program Bahasa Asia dan Afrika CMG, Zhang Hui dalam ucapannya berkata laporan yang dibuat pengamal media sempena aktiviti kali ini diyakini akan menjadi ‘jendela’ bagi masyarakat antarabangsa memahami China pada era baharu.

Beliau juga berharap aktiviti seumpama itu bukan sahaja menjadi contoh praktikal kepada mekanisme kerjasama Rakan Media ASEAN, tetapi juga menjadi usaha bersama bagi pembentukan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN.

Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman dalam ucapan menerusi pautan video memberikan penghargaan kepada penganjuran aktiviti ‘China Walk: Vibrant Hainan’ yang disifatkan sebagai wadah bermakna untuk memperdalam persefahaman dan mendorong dialog serantau, selain memaparkan nilai-nilai yang dijunjung bersama China dan ASEAN.

Acara itu disertai wartawan China bersama 29 orang pengamal media dari sembilan negara ASEAN antaranya Malaysia, Indonesia, Thailand, Laos dan lain-lain. Mereka akan membuat lawatan dan liputan di beberapa lokasi di provinsi Hainan.

Liputan berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan pelabuhan perdagangan bebas serta usaha-usaha lain yang diperkasa Hainan dalam pembaharuan, ekologi, sosiobudaya dan inovasi.