Reformasi Perkhidmatan Awam Jimatkan RM835 Juta Kos Beban Peraturan – KSN

KUALA LUMPUR, 10 Sept — Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang diperkenalkan kepada semua penjawat awam pada 10 Sept tahun lalu berjaya merekodkan penjimatan kos beban peraturan berjumlah lebih RM835 juta menerusi pelaksanaan 122 projek.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata dalam tempoh sama, lebih 1,007 projek reformasi bagi mengurangkan kerenah birokrasi turut didaftarkan.

“Genap setahun lalu, saya memperkenalkan ARPA kepada semua penjawat awam, dan kini impak awal sudah dapat dilihat.

“Kita tidak boleh membiarkan rakyat menunggu lama bagi proses permohonan yang boleh dipermudahkan, khususnya melalui pendigitalan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Shamsul Azri berkata, beliau turut meminta pasukan ARPA mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri serta beberapa badan bukan kerajaan yang berkaitan.

“Langkah ini selaras dengan semangat New Public Service yang menekankan penglibatan rakyat dalam proses pembuatan dasar kerajaan,” katanya.