Kapal Perang Dikesan Berhampiran Kapal Global Sumud Flotilla Menuju Gaza

ISTANBUL, 1 Okt — Sebuah kapal perang dikesan awal Rabu berada berhampiran Global Sumud Flotilla yang sedang belayar menuju Gaza, ketika penganjur melaporkan keadaan berjaga-jaga di laut, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Wartawan Al Jazeera yang berada di atas flotila itu berkata hubungan komunikasi dengan kapal Alma, iaitu kapal utama dalam misi flotila berjaya dipulihkan selepas terputus seketika.

Menurutnya, sebuah kapal Israel menghampiri Alma sehingga kira-kira lima kaki dan menyekat semua sistem komunikasi serta enjinnya, menyebabkan ia tidak berfungsi.

Peserta di atas Alma bertindak membuang telefon bimbit mereka ke laut mengikut protokol keselamatan yang ditetapkan.

Wartawan itu kemudian melaporkan bahawa kapal Israel berkenaan telah meninggalkan kawasan berkenaan, membolehkan flotila meneruskan pelayaran.

Flotila yang belayar bagi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza itu memaklumkan kapal-kapal mereka kini berada kira-kira 121 batu nautika (225 kilometer) dari wilayah yang dikepung itu.