Kejayaan SK Putrajaya Presint 11 (1) Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Global – PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) memenangi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat oleh T4 Education berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di X berkata kemenangan itu membuktikan bahawa inovasi dan amalan terbaik di sekolah mampu menjadi sumber inspirasi kepada dunia.

“Tahniah dan syabas kepada warga sekolah, Kementerian Pendidikan (KPM) serta semua pihak terlibat. Inilah contoh sebenar semangat Malaysia MADANI dalam mendidik, menginspirasi dan membina masa depan,” katanya.

SK Putrajaya Presint 11(1) berjaya menewaskan sekolah-sekolah yang disenarai pendek daripada Turkiye, India, Filipina, United Kingdom, Vietnam, Mexico, Brazil dan Thailand.

Kejayaan itu berasaskan inisiatif pembangunan aplikasi mudah alih dikenali sebagai HELPIE yang dilancarkan pada 2023 untuk meningkatkan kesedaran serta memberi sokongan kesihatan mental dalam kalangan murid sekolah.

Aplikasi itu digabungkan dengan kempen rakan sebaya di bilik darjah dan setakat ini telah memberi manfaat kepada lebih 1,000 murid.

Pengumuman kemenangan dibuat menerusi siaran langsung semalam yang disaksikan pada perhimpunan khas anjuran bersama KPM dan Yayasan Hasanah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Kemenangan membolehkan SK Putrajaya Presint 11(1) menerima hadiah bernilai USD50,000 (RM235,000).

Anugerah yang diasaskan oleh T4 Education, badan pendidikan global berpangkalan di UK sejak 2022 ini merupakan pengiktirafan pendidikan paling berprestij, meraikan sekolah-sekolah di seluruh dunia yang memberi inspirasi kepada perubahan positif.