KUALA LUMPUR, 23 Okt — Polis mengesahkan menantu kepada seorang bekas perdana menteri yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah kini berada di luar negara.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata waran tangkap terhadap lelaki berkenaan, yang juga seorang ahli perniagaan telah dikeluarkan dan tindakan yang sedang dilakukan ketika ini memerlukan bantuan daripada negara berkaitan.
“Insya-Allah kami akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Setakat ini, kami tidak terima sebarang maklumat daripada Interpol. Mungkin SPRM boleh jawab persoalan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan persiapan dan ‘dry run’ sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dan Timbalan Pengarah Gerakan/Operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Fisol Salleh.
Media hari ini melaporkan ahli perniagaan yang telah melarikan diri lebih dua tahun lepas itu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Menurut laporan itu, beberapa gambar yang dikongsi kepada sebuah akhbar tempatan menunjukkan beliau bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat.

















Tinggalkan Balasan