Kehadiran Trump Perkukuh Hubungan ASEAN-Amerika – PMO

KUALA LUMPUR, 26 Okt — Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini memperkukuh lagi hubungan antara ASEAN dengan Amerika Syarikat serta membuka lembaran baharu dalam kerjasama dua hala dan serantau.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata lawatan rasmi pertama Trump ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat pada Januari lepas memberikan ruang penting kepada ASEAN untuk menyampaikan pendirian bersama terhadap pelbagai isu serantau dan global.

“Kehadiran Trump menawarkan peluang penting untuk ASEAN menyampaikan pendirian bersama mengenai isu seperti keamanan, perdagangan, tenaga, serta situasi di rantau Asia-Pasifik dan Gaza,” katanya.

Pada masa sama, Tunku Nashrul berkata antara acara kemuncak hari ini ialah majlis menandatangani Perjanjian Damai Thailand–Kemboja yang akan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Trump.

Beliau berkata majlis itu melambangkan kejayaan diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian secara aman dan konstruktif, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap peranan Malaysia sebagai pemudah cara keamanan serantau.

Trump dan Anwar dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian serta menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan jamuan bersama dengan pemimpin ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini hingga 28 Okt di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” dijangka menjadi antara pertemuan terbesar dalam sejarah badan serantau berkenaan.