Sarawak Labur RM31 Bilion Dalam Projek RMK12, Catat Pencapaian Audit Bersih Ke-23

KUCHING, 3 Dis — Sarawak mencatat kemajuan ketara dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan perbelanjaan berjumlah RM31 bilion atau 78 peratus daripada had yang diluluskan setakat ini, selain memperoleh Sijil Bersih Akaun Awam ke-23 berturut-turut.

Timbalan Premier Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sejumlah 1,396 projek yang dibiayai oleh kerajaan negeri telah diluluskan di bawah RMK12, dengan had keseluruhan berjumlah RM40 bilion.

“Daripada jumlah itu, 987 projek atau 71 peratus merupakan projek fizikal, manakala baki 29 peratus terdiri daripada inisiatif bukan fizikal seperti geran, sumbangan, pelaburan dan aktiviti,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan di Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 308 projek fizikal telah disiapkan, manakala 679 projek lagi sedang dilaksanakan pada pelbagai peringkat, dengan perbelanjaan dijangka meningkat seiring kemajuan projek.

“Projek Rakyat, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan program agensi pembangunan wilayah turut menyumbang kepada pembangunan seimbang di seluruh negeri, dengan 381 Projek Rakyat telah disiapkan dan lebih 9,200 projek RTP telah dilaksanakan,” kata Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua itu. 

Mengenai pencapaian memperoleh Sijil Bersih Akaun Awam ke-23 berturut-turut, Uggah berkata ia mencerminkan komitmen berterusan negeri terhadap tadbir urus yang baik, pengurusan kewangan berhemah dan amalan perbelanjaan berdisiplin selama lebih dua dekad.

Menurut beliau, agensi penarafan kredit antarabangsa Moody’s dan S&P telah mengekalkan penarafan pelaburan Sarawak pada A3 dan A- masing-masing dengan prospek stabil, manakala agensi penarafan domestik RAM mengekalkan penarafan AAA.

“Penarafan ini menunjukkan keyakinan terhadap rizab yang kukuh, rangka tadbir urus yang mantap dan daya tahan kewangan Sarawak,” katanya, sambil menekankan peranan penting perkhidmatan awam negeri dalam memastikan akauntabiliti dan kredibiliti dalam pengurusan kewangan awam.