Polis Tahan Lelaki Bangladesh Masuk Tandas Wanita Di Terminal Bas Kulai

KULAI, 10 Dis — Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai memasuki tandas wanita di Terminal Bas Kulai di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata, dalam kejadian pada 1.10 tengah hari itu, lelaki berusia 35 tahun tersebut didapati baru sahaja turun daripada sebuah bas yang tiba dari Kuala Lumpur.

Beliau berkata lelaki berkenaan turut membawa sebuah beg berisi pakaian yang diletakkan di atas kerusi menunggu sebelum memasuki tandas itu.

“Susulan itu, kita menahan lelaki terbabit untuk tujuan soal siasat dan proses dokumentasi. Hasil siasatan mendapati dia tersilap memasuki tandas berkenaan, yang ketika kejadian tidak mempunyai pengguna wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata lelaki itu telah dibebaskan selepas proses dokumentasi dan laporan polis selesai dibuat.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 35 saat di laman sosial memaparkan seorang lelaki Bangladesh kelihatan bingung ketika disoal orang awam mengenai tindakannya memasuki tandas wanita, sebelum dia ditahan polis.