PRK Parlimen Pandan, Setiawangsa Tidak Akan Diadakan – SPR

PUTRAJAYA, 20 Mei — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pandan dan Setiawangsa tidak akan diadakan, kata Pengerusinya Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata perkara itu berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka berkenaan. 

“Selaras dengan itu, tiada PRK Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR menerima pemakluman daripada Johari melalui surat bertarikh hari ini, berhubung dengan status kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi Parlimen itu, selepas diisytiharkan kosong di bawah Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.

Pada Ahad lepas, bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen mereka pada Isnin dan keluar parti berkuat kuasa Selasa melalui surat kepada Setiausaha Agung parti berkenaan.

Mereka kemudian mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), sebuah parti politik kecil yang berpangkalan di Pulau Pinang.