Kerajaan Dapatkan Pandangan Industri Rangka Dokumen Strategi Nasional SAF

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Kerajaan telah mengumpul input berkaitan untuk digunapakai di dalam Dokumen Strategi Nasional Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) melalui beberapa siri bengkel dan perbincangan bersama pihak industri dan pemegang taruh.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Chan Foong Hin berkata dokumen yang sedang dibangunkan KPK bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu kini berada di peringkat perbincangan awal sebelum dimuktamadkan untuk tindakan seterusnya.

Katanya dokumen berkenaan dijangka dapat dimuktamadkan setelah mengambil kira semua faktor dari segi pengeluaran, permintaan, perkembangan teknologi dan pelaksanaan mandat SAF oleh negara serantau.

“Sesi perbincangan lanjut bersama pihak MITI akan diadakan pada suku pertama tahun 2026.

“Susulan itu, kerja-kerja merangka dan menyemak draf akhir dokumen akan diteruskan sehingga penghujung tahun 2026, sebelum dibawa ke Jemaah Menteri pada awal tahun 2027,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Chan menjawab soalan Senator Che Alias Hamid yang bertanya mengenai jangkaan masa bagi memuktamadkan Dokumen Strategi Nasional SAF bagi menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi antara pengeluar utama SAF dunia.

Beliau berkata kerajaan kini sedang merangka pengenalan mandat adunan SAF bagi menggalakkan permintaan kepada bahan api mampan itu. 

“Pengenalan mandat adunan SAF akan dicadangkan untuk bermula dengan satu peratus dan akan ditingkatkan secara progresif mengikut kesesuaian dan keperluan,” katanya.