NASA Tawar Hadiah Wang Tunai RM13 Juta

WASHINGTON, 12 April — Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menawarkan hadiah lumayan berjumlah AS$3 juta (RM13 juta) kepada sesiapa yang berjaya membangunkan teknologi kitar semula najis manusia di angkasa lepas.

Pertandingan yang dinamakan LunaRecycle Challenge itu bertujuan mencari penyelesaian inovatif bagi mengitar semula bahan buangan manusia termasuk najis, air kencing dan muntah ketika misi angkasa berjangka panjang, termasuk penempatan kekal di bulan.

NASA memaklumkan, sebanyak 96 beg sisa buangan manusia telah ditinggalkan di bulan sejak misi Apollo terdahulu. Justeru, cabaran ini dilihat penting bagi mengelakkan penambahan pencemaran angkasa serta memastikan eksplorasi angkasa dapat dilakukan secara mampan.

“NASA komited terhadap penerokaan angkasa secara lestari. Dalam persediaan menghadapi misi manusia ke angkasa, pengurusan sisa buangan termasuk sisa pepejal perlu diambil kira, bagaimana ia boleh diminimumkan, disimpan, diproses dan dikitar semula agar tidak perlu dibawa pulang ke Bumi,” menurut kenyataan di laman rasmi NASA.

Tambah agensi itu lagi, penyelesaian yang dicari bukan sahaja dapat dimanfaatkan dalam misi angkasa, malah berpotensi mengubah cara kitar semula di Bumi, menerusi pendekatan baru yang lebih cekap, kurang toksik serta berskala kecil untuk digunakan di komuniti seluruh dunia.

NASA kini sedang menilai pusingan pertama penyertaan yang diterima, dan cadangan terbaik akan disenarai pendek untuk ke peringkat seterusnya. Pemenang akan membawa pulang hadiah utama berjumlah AS$3 juta (RM13 juta). 

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda