Myanmar Mulakan Proses Pilihan Raya Umum 2025

YANGON, Myanmar, 28 Dis — Myanmar memulakan proses pilihan raya umum 2025 dengan fasa pertama diadakan pada Ahad, lapor Xinhua.

Pilihan raya umum itu dijadual berlangsung dalam tiga fasa, dengan fasa kedua ditetapkan pada 11 Jan 2026, diikuti fasa ketiga pada 25 Jan.

Pilihan raya melibatkan keseluruhan 692 kawasan di seluruh negara. 

Kira-kira 5,000 calon daripada 57 parti politik bertanding bagi merebut kerusi di Pyithu Hluttaw (Dewan Rendah), Amyotha Hluttaw (Dewan Negara) serta Dewan Negeri dan Wilayah.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, sebanyak 21,517 pusat pengundian telah disediakan di seluruh negara bagi pilihan raya umum itu.

Tidak seperti pilihan raya sebelum ini, Myanmar memperkenalkan sistem Mixed-Member Proportional (MMP) dan Mesin Pengundian Elektronik Myanmar. 

Sistem MMP menggabungkan kaedah First-Past-the-Post dan Perwakilan Berkadar, menurut laporan akhbar milik kerajaan Global New Light of Myanmar.

Menurut Kementerian Penerangan, rakyat Myanmar yang menetap di luar negara telah pun menunaikan undi awal di kedutaan dan konsulat luar negara. 

Pasukan pemerhati pilihan raya dari beberapa negara juga telah tiba di Myanmar untuk memerhati proses pengundian.

Pilihan raya umum terakhir Myanmar diadakan pada November 2020.