MOSCOW, 1 Jun — Jumlah kekayaan usahawan terkaya Rusia meningkat sebanyak US$21.857 bilion sejak awal 2026, menurut pengiraan berdasarkan data Bloomberg Billionaires Index (BBI), lapor Sputnik/RIA Novosti.
Indeks itu dikira berdasarkan nilai pegangan saham dalam syarikat milik bilionair.
Bagi sesetengah syarikat, anggaran dibuat berdasarkan nisbah seperti permodalan pasaran kepada EBITDA atau harga saham kepada pendapatan sesaham.
BBI menjejaki 500 individu terkaya dunia dan ketika ini merangkumi 20 warga Rusia dengan jumlah kekayaan keseluruhan mencecah US$320.8 bilion setakat 1 Jun.
Usahawan Amerika Syarikat (AS) Elon Musk, pemilik Tesla dan SpaceX, kekal sebagai individu terkaya dunia dengan kekayaannya meningkat sebanyak US$116 bilion sejak awal tahun kepada US$735 bilion.
Senarai ahli perniagaan terkaya Rusia diterajui Pengerusi dan pemegang saham majoriti syarikat keluli Severstal, Alexey Mordashov, dengan nilai kekayaan bersih US$29.9 bilion, meningkat US$3.66 bilion sejak awal tahun.
Beliau diikuti seorang daripada pemegang saham utama Norilsk Nickel, Vladimir Potanin, dengan kekayaan US$28.3 bilion selepas mencatat peningkatan US$1.94 bilion tahun ini dan US$226 juta bagi tempoh laporan terbaharu.
Tempat ketiga diduduki Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tenaga Novatek, Leonid Mikhelson, dengan jumlah kekayaan US$27.8 bilion, meningkat US$4.15 bilion sejak awal tahun.
Pengasas pengeluar baja EuroChem dan syarikat tenaga arang batu SUEK, Andrey Melnichenko, berada di tempat keempat dengan kekayaan bersih US$24.6 bilion, mencatat peningkatan terbesar dalam kalangan kumpulan itu tahun ini sebanyak US$5.63 bilion.
Melengkapkan lima teratas ialah Pengerusi dan pemegang saham majoriti syarikat keluli Novolipetsk (NLMK), Vladimir Lisin, dengan kekayaan dianggarkan US$23.5 bilion, susut US$198 juta sejak awal tahun meskipun meningkat kecil sebanyak US$9.01 juta dalam sehari.
















Tinggalkan Balasan