KUALA LUMPUR, 26 April — Konflik berlarutan di Asia Barat sedang menyusun semula landskap tenaga global, sekali gus menegaskan bahawa keselamatan tenaga bagi rantau yang bergantung kepada import kini bukan lagi sekadar soal kecekapan, tetapi ketahanan terhadap gangguan berpanjangan.
Pasaran tenaga kembali dipacu faktor geopolitik, dengan ketidaktentuan baharu membabitkan bekalan, turun naik harga serta aliran pelaburan global.
Walaupun ketegangan mereda, pengalaman krisis lalu menunjukkan pasaran jarang kembali kepada struktur asal, sebaliknya perubahan struktur lazimnya dipercepatkan selepas sesuatu kejutan berlaku.
Risiko semasa bukan lagi gangguan jangka pendek, tetapi kejutan berpanjangan yang berpotensi mengekalkan ketidaktentuan pasaran serta mengetatkan bekalan lebih lama daripada jangkaan.
Di rantau Asia Pasifik, kesannya lebih ketara memandangkan ia antara pusat pertumbuhan permintaan tenaga global yang paling pesat, namun masih bergantung tinggi kepada import bagi menyokong aktiviti ekonomi.
Kebergantungan ini mendedahkan rantau berkenaan kepada gangguan bekalan dari Asia Barat, yang menjadi laluan utama sebahagian besar aliran tenaga dunia.
Situasi ini menguji asas keselamatan tenaga serantau, bukan sahaja dari segi pergerakan fizikal bekalan, tetapi turut melibatkan kos, logistik serta kebolehpercayaan keseluruhan sistem tenaga.
Tekanan tersebut mula menular ke ekonomi lebih luas apabila kos pengangkutan meningkat, rantaian bekalan terganggu dan harga input melonjak, sekali gus menekan margin serta menjejaskan aliran perdagangan.
Kedudukan Malaysia Kekal Berdaya Tahan
Naib Presiden Kanan dan Pengurus Moody’s Ratings Christian de Guzman berkata, memandangkan Malaysia merupakan pengeksport bersih tenaga, agensi penarafan kredit global itu tidak melihat negara ini sebagai terlalu terdedah kepada gangguan bekalan akibat kemungkinan penutupan Selat Hormuz, berbanding ekonomi lain di rantau ini.
“Sebaliknya, ekonomi Malaysia yang berorientasikan eksport lebih terdedah kepada potensi kelembapan pertumbuhan global susulan kejutan bekalan tersebut,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, masih belum jelas sama ada permintaan kukuh terhadap sektor elektronik yang menyokong eksport Malaysia akan berterusan pada 2026 dalam persekitaran ketidaktentuan geopolitik semasa.
De Guzman berkata langkah penyasaran semula subsidi oleh kerajaan termasuk rasionalisasi diesel dan pelaksanaan BUDI95 membantu mengehadkan risiko penurunan terhadap kedudukan fiskal negara.
“Dalam erti kata lain, kami tidak menjangka bil subsidi meningkat seperti pada 2022 ketika harga minyak global melonjak susulan konflik Rusia-Ukraine,” katanya.
Perbelanjaan subsidi negara sebelum ini mencerminkan pendedahan fiskal kepada kejutan tenaga apabila jumlahnya meningkat kepada RM55.44 bilion pada 2022 berbanding RM13.13 bilion pada 2021, dengan subsidi produk petroleum menyumbang RM45.18 bilion.
Namun, beliau berkata masih belum pasti sama ada langkah sokongan tambahan akan diperkenalkan, yang berpotensi memperlahankan usaha penyatuan fiskal dalam jangka masa terdekat.
Kepelbagaian Sumber Tenaga Semakin Penting
Dalam persekitaran ini, kepelbagaian sumber tenaga kembali menjadi keutamaan apabila kebergantungan kepada satu sumber atau wilayah bukan lagi sekadar kelemahan, tetapi risiko sistemik kepada rantaian bekalan.
Malah, negara pengeluar minyak di Asia juga tidak terkecuali daripada kesan gangguan global yang mempengaruhi harga dan aliran pasaran.
Keadaan ini menjadikan usaha memperluas sumber bekalan dan jenis tenaga semakin penting bagi mengekalkan kestabilan ekonomi.
Pada masa sama, krisis ini mengukuhkan kepentingan pengoptimuman sumber domestik, khususnya gas asli, di samping keperluan mengimbangi import tenaga.
Dalam jangka pendek, gas kekal komponen utama dalam campuran tenaga memandangkan ketiadaan alternatif berskala besar yang mampu menggantikannya dalam tempoh singkat.
Namun, cabaran utama industri ialah tempoh pelaksanaan projek tenaga yang panjang dan tidak seiring dengan keperluan mendesak semasa.
Jurang ini mendorong peralihan ke arah pelaksanaan lebih pantas melalui kerjasama awal antara pengendali, penyedia perkhidmatan dan rakan industri.
Kemajuan teknologi melalui pendigitalan dan automasi turut membantu meningkatkan kecekapan serta mengurangkan risiko operasi, namun tidak menghapuskan pendedahan struktur kepada bekalan yang tertumpu.
Kerjasama Penting Bagi Memperkukuh Daya Tahan.
Susulan itu, kerjasama kini semakin meluas bukan sahaja antara pemain industri, tetapi turut melibatkan kerajaan, pengawal selia dan pihak berkepentingan lain, mencerminkan sifat sistemik cabaran keselamatan tenaga.
Kerjasama serantau di Asia Pasifik turut menjadi semakin penting, dengan pembangunan infrastruktur rentas sempadan, sistem bersepadu dan perkongsian sumber dilihat sebagai elemen utama memperkukuh daya tahan tenaga.
Dalam masa sama, isu kemampuan harga kekal menjadi cabaran apabila memastikan bekalan berterusan perlu diseimbangkan dengan keupayaan pengguna dan industri menanggung kos.
Tekanan harga yang berterusan turut menular ke dalam ekonomi melalui peningkatan kos barangan, pengangkutan dan pengeluaran.
Secara keseluruhan, konflik ini bertindak sebagai ujian tekanan terhadap sistem tenaga serantau, dengan keutamaan jangka pendek tertumpu kepada menutup jurang bekalan dan menstabilkan pasaran, manakala cabaran jangka panjang ialah membina sistem tenaga yang lebih pelbagai, responsif dan bersepadu bagi menghadapi gangguan masa depan.
















Tinggalkan Balasan