KUALA LUMPUR, 4 Sept — Aspek keselamatan kekal sebagai keutamaan yang tidak akan dikompromi bagi Malaysia Aviation Group (MAG) seiring langkah kumpulan itu untuk terus memperkukuh proses dan piawaian keselamatannya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Nasaruddin A Bakar.
Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan syarikat penerbangan nasional berkenaan terus meraih kepercayaan pelanggan setiap hari.
Sehubungan itu, Nasaruddin berkata MAG telah melengkapkan saringan dadah terhadap lebih 1,500 juruterbang di seluruh syarikat penerbangannya termasuk semua juruterbang dan kru kabin Firefly pada 15 Ogos lepas.
“Sehingga semalam, kira-kira 98.8 peratus kru kabin Malaysia Airlines (telah menjalani saringan) dan kami berharap dapat mencapai 100 peratus hari ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Setakat ini semua ujian meliputi kru Malaysia Airlines dan Firefly adalah negatif.
Nasaruddin berkata saringan awal itu dilaksanakan sebagai langkah sekali sahaja, namun ia akan dijadikan keperluan wajib setiap tahun bagi semua kru kabin.
“Kami juga menjalankan ujian secara rawak hampir setiap minggu.
“Keselamatan memerlukan disiplin dalam setiap keputusan yang dibuat, piawaian yang kita tetapkan dan cara kita bertindak balas apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata memberi tumpuan kepada asas operasi semakin penting ketika industri penerbangan berdepan pelbagai tekanan luaran, termasuk turun naik harga bahan api, kekangan rantaian bekalan dan ketidaktentuan geopolitik.
Meskipun permintaan permintaan kekal menggalakkan, namun pihaknya terus berdepan dengan cabaran harga bahan api, turun naik pasaran, kekangan rantaian bekalan dan ketidaktentuan geopolitik.
“Bahan api sahaja menyumbang hampir 40 peratus daripada jumlah kos operasi MAG. Setiap kenaikan US$1 dalam harga bahan api memberi kesan kira-kira RM50 juta kepada kos kami,” katanya.
Menurut Nasaruddin, kumpulan itu mungkin tidak dapat mengawal tekanan luaran berkenaan, namun boleh menentukan tahap kesediaan dan tindak balasnya terhadap cabaran tersebut.
Ini termasuk memperkukuh bidang perniagaan dan langkah keselamatan bagi meningkatkan daya saing, selain menawarkan produk serta pengalaman yang memenuhi kehendak dan dihargai pelanggan, kata beliau.

















Tinggalkan Balasan