KUALA LUMPUR, 9 Jun — Maybank memperkukuh sokongannya terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia melalui penyelesaian kewangan yang bersasar, penglibatan industri secara proaktif dan memudah cara Kemudahan Bantuan Penstabilan (SRF) Bank Negara Malaysia (BNM).
Langkah itu berikutan konflik di Asia Barat terus menjejaskan perniagaan merentasi pelbagai sektor di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu menyatakan tindak balas sokongannya dirangka untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh pemilik PKS daripada pelbagai sektor dan untuk keperluan perniagaan mereka.
Maybank SME Perkasa ialah inisiatif pembiayaan pantas yang dilancarkan pada 12 Mei bagi perniagaan yang terkesan oleh konflik di Asia Barat, yang menawarkan pengeluaran dana dalam tempoh 48 jam selepas penyerahan dokumen yang lengkap.
Bank itu juga sedang memudahkan permohonan untuk SRF oleh BNM, yang menyediakan pembiayaan sehingga RM750,000 bagi tempoh sehingga lima tahun pada kadar pembiayaan maksimum 3.75 peratus setahun, termasuk yuran jaminan kepada perniagaan yang terkesan oleh konflik di Asia Barat.
Ia memaklumkan bank itu telah memulakan penglibatan proaktif dengan pelanggan PKS mereka bagi membincangkan bantuan kewangan yang tersedia dan menggesa perniagaan yang mengalami tekanan kewangan untuk berhubung lebih awal supaya sokongan dapat diberikan tepat pada masanya.
Sebagai sebahagian daripada Strategi ROAR30, Maybank kekal komited untuk memacu ekonomi sebenar dengan menyokong PKS sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri melalui penyelesaian kewangannya, sokongan ekosistem serta libat urus industri yang berterusan.
“Kumpulan menyasarkan untuk membantu perniagaan mengharungi cabaran semasa di samping memperkukuh daya tahan dan daya saing jangka panjang, dengan matlamat untuk menggembleng RM100 bilion dalam memupuk industri berimpak tinggi dan bernilai tinggi di seluruh negara,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Syed Ahmad Taufik Albar berkata sebagai bank terbesar di Malaysia, mereka mempunyai tanggungjawab untuk sentiasa bersama PKS.
Ini termasuklah melangkaui perkhidmatan perbankan dengan mendengar, memahami keperluan perniagaan yang sentiasa berkembang dan memastikan penyelesaian yang ditawarkan oleh bank itu adalah mudah diakses dan bermakna, kata beliau.
“Berpandukan misi kami untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan, komitmen kami kepada PKS Malaysia adalah untuk melangkah bersama di setiap peringkat perjalanan mereka, mengharungi cabaran hari ini dan memanfaatkan peluang hari esok,” tambahnya.

















Tinggalkan Balasan