KUALA LUMPUR, 5 Mei — Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai perjanjian dengan penyedia peralatan enapan bagi industri semikonduktor, AIXTRON SE, bagi membangunkan sebuah kemudahan pengeluaran di tapak baharu di Pulau Pinang.
Majlis pemeteraian itu berlangsung pada acara SEMICON Asia Tenggara 2026.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif AIXTRON SE Dr Felix Grawert berkata keputusan pembangunan di Pulau Pinang itu memaparkan keyakinan jangka panjang syarikat terhadap Malaysia sebagai sebuah lokasi semikonduktor yang strategik.
“Pelaburan ini membolehkan AIXTRON memberi khidmat kepada pangkalan pelanggan global kami dengan lebih baik, mengukuhkan lagi fleksibiliti operasi kami selain menyokong penskalaan berterusan membabitkan teknologi maju semikonduktor,” katanya.
Pembangunan di Taman Teknologi Bandar Casia (BCTP) di kawasan seluas 8.5 ekar itu merangkumi sebuah kemudahan bersepadu membabitkan bangunan pejabat tiga tingkat, bilik pembersihan maju serta kawasan logistik khusus, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menyifatkan keputusan AIXTRON sebagai satu pengiktirafan kukuh terhadap kesediaan Malaysia menjadi lokasi bagi penyediaan segmen kompleks dalam rantaian nilai semikonduktor global.
“Kesan limpahan ini adalah jelas iaitu dapat mewujudkan sejumlah besar pekerjaan berteknologi tinggi yang boleh dimanfaatkan oleh bakat tempatan bagi jawatan berkemahiran tinggi. Pada masa sama, ini dapat menyepadukan vendor-vendor tempatan dalam rantaian bekalan global yang elit.
“(Ini juga sejajar dengan peranan) Malaysia yang bergerak melangkaui aktiviti berteraskan pemasangan untuk menjadi hab global pengupaya utama revolusi kecerdasan buatan dan kenderaan elektrik,” katanya.
Menurut kenyataan itu, usaha reka bentuk kemudahan ini dari peringkat asas juga membolehkan aspek kesesuaian dan pengoptimuman meluas untuk memenuhi permintaan pengeluaran produk AIXTRON yang bersaiz 100 milimeter (mm), 150 mm dan 200 mm secara cekap.
“Reka bentuk modular ini akan memberi fleksibiliti dan membolehkan pengembangan secara berperingkat yang sejajar dengan permintaan pasaran masa depan,” menurut kenyataan itu.
Fasiliti baharu itu bertujuan menyokong peningkatan permintaan bagi teknologi pemprosesan semikonduktor lebih maju.
Usaha itu, menurut kenyataan berkenaan, dapat membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran, daya tahan rantaian bekalan lebih besar selain lebih hampir dengan pelanggan di sekitar Asia Pasifik.
Kemudahan terbabit akan menumpukan aspek pengeluaran dan sokongan sistem utama bagi pengeluaran peranti semikonduktor generasi baharu untuk aplikasi seperti elektronik kuasa, teknologi komunikasi canggih, optoelektronik dan kerangka pengkomputeran baharu.

















Tinggalkan Balasan