KUALA LUMPUR, 4 Julai — Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka diniagakan secara mendatar dengan kecenderungan menurun sedikit pada minggu depan dipengaruhi oleh ketidaktentuan geopolitik susulan kebuntuan perjanjian damai Amerika Syarikat (AS)-Iran.
Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menyatakan para peniaga akan memantau rapat perkembangan ini memandangkan kebuntuan yang berpanjangan ini boleh melengahkan usaha untuk mengurangkan gangguan rantaian bekalan global.
Bercakap kepada Bernama, persatuan itu menjelaskan sentimen pasaran akan terus dipengaruhi oleh pasaran niaga hadapan getah serantau yang lebih lemah serta harga minyak mentah yang lebih rendah.
Sementara itu, pakar industri Denis Low berkata pasaran dijangka menyaksikan dagangan yang suram pada minggu depan dengan pembelian bagi tujuan penambahan stok secara sederhana tetapi berterusan yang dijangka mengekalkan harga neutral hingga sedikit rendah.
Beliau berkata aktiviti perkapalan dan komersial disambung semula dengan berhati-hati selain pergerakan barangan dilihat kembali normal walaupun ketidaktentuan geopolitik masih berlarutan.
Jelasnya bekalan minyak dijangka kembali normal dalam beberapa hari akan datang dan harga minyak mentah yang lebih rendah sepatutnya membantu mengurangkan kos keseluruhan di sepanjang rantaian bekalan.
“Keadaan cuaca di kawasan-kawasan pengeluar getah ketika ini juga baik dan terkawal.
“Keadaan itu mewujudkan situasi bekalan yang lebih baik sekali gus menjadikan harga lebih terkawal dan stabil berbanding beberapa minggu lepas apabila harga meningkat secara mendadak,” katanya.
Low memberitahu permintaan akan kekal stabil dengan pembeli tidak lagi perlu membuat pembelian spekulatif bersama-sama pengeluar dan peniaga.
Secara perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) susut 8.0 sen kepada 872.50 sen sekilogram manakala lateks pukal merosot 23.5 sen kepada 746 sen sekilogram.

















Tinggalkan Balasan