KUALA LUMPUR, 5 Jun — Pengeluaran minyak mentah dan kondensat mencatatkan penurunan tahun ke tahun sebanyak 5.5 peratus kepada 43 juta tong pada suku pertama 2026 (S1 2026) berbanding 45.5 juta tong bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan itu disebabkan oleh pengurangan dalam pengeluaran minyak mentah, yang menguncup sebanyak 9.4 peratus kepada 28.1 juta tong daripada 31.5 juta tong sebelumnya.
“Bagaimanapun, pengeluaran kondensat menunjukkan pertumbuhan sebanyak 3.0 peratus kepada 14.9 juta tong berbanding 14.4 juta tong pada suku pertama 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini mengeluarkan Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli bagi Suku Pertama 2026.
Dari segi komposisi, minyak mentah menyumbang sebanyak 65.4 peratus daripada jumlah pengeluaran kondensat dan minyak mentah, manakala kondensat merangkumi 34.6 peratus.
Sementara itu, gas asli mencatatkan pengeluaran sebanyak 765.8 bilion kaki padu, susut 2.1 peratus berbanding penurunan 1.0 peratus pada suku sebelumnya.
Bagaimanapun, prestasi bulanan bagi suku pertama 2026 menunjukkan kadar perubahan lebih tinggi pada Mac berbanding dua bulan sebelumnya.
Mengenai prestasi perdagangan luar, Mohd Uzir berkata nilai eksport petroleum mentah dan kondensat merosot kepada RM5.2 bilion pada suku pertama 2026, iaitu susut daripada RM6.1 bilion pada suku sebelumnya.
Penurunan ini adalah sejajar dengan eksport pengeluaran petroleum bertapis, yang merekodkan pengurangan marginal kepada RM22.9 bilion berbanding RM23.9 bilion pada suku sebelumnya.
Pada masa sama, eksport gas asli cecair (LNG) turut merekodkan penurunan kepada RM12.9 bilion pada suku ini berbanding RM13.6 bilion pada suku sebelumnya.
Mengenai import petroleum mentah dan kondensat, Mohd Uzir berkata ia mencatatkan penurunan kepada RM7.3 bilion pada suku pertama 2026 berbanding kepada RM11.5 bilion pada suku sebelumnya.
Import pengeluaran petroleum bertapis turut mencatatkan penyusutan kepada RM22.3 bilion berbanding RM22.8 bilion pada suku keempat 2025.
“Sementara itu, import LNG turut berkurang kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.6 bilion yang direkodkan pada suku sebelumnya,” tambah Mohd Uzir.

















Tinggalkan Balasan