KUALA LUMPUR, 27 April — Ringgit tinggi berbanding dolar AS tetapi mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang utama lain dalam dagangan awal pada Isnin didorong sentimen pasaran yang lemah menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) minggu ini, kata penganalisis.
Pada 8.14 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9610/9680 berbanding dolar AS daripada 3.9630/9670 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran pertukaran asing pada masa ini lemah, corak biasa menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS apabila peniaga menilai sama ada panduan dasar akan cenderung kepada kadar faedah tinggi atau kadar faedah rendah.
Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan akan diadakan pada 28 dan 29 April ini.
Innes berkata pegangan telah berkurangan dan keyakinan terjejas, dengan sebahagian besar peserta pasaran tidak memasuki pasaran sehingga situasi menjadi lebih jelas.
Dari segi geopolitik, Innes berkata kekurangan kemajuan dalam rundingan damai Iran menjadi penghalang kecil terhadap sentimen risiko dan dijangka mengekang jualan dolar yang lebih luas pada awal minggu ini.
“Bagaimanapun, melainkan kita melihat peningkatan ketenteraan yang ketara dan mendorong harga minyak naik dengan mendadak, impaknya dijangka kekal terkawal. Buat masa ini, saya menjangka kecenderungan yang sederhana terhadap pengukuhan ringgit.
“Keadaan pasaran secara keseluruhan masih cenderung kepada dagangan dalam julat tertentu berikutan dolar dijangka tidak mencatatkan prestasi lemah yang ketara dengan minyak kekal pada paras semasa.
“Ini akan mengekang penurunan dolar AS, seterusnya mengehadkan kenaikan ringgit yang berterusan,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan menurun berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit merosot berbanding pound kepada 5.3529/3624 daripada 5.3429/3483 semasa ditutup pada Jumaat lepas, berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.4831/4876 daripada 2.4808/4834 dan menyusut berbanding euro kepada 4.6379/6461 daripada 4.6312/6358 sebelum ini.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1020/1078 daripada 3.1009/1043 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.2181/2465 daripada 12.2183/2363.
Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 229.9/230.4 daripada 230.0/230.3 dan hampir mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.52/6.54 daripada 6.52/6.53 sebelum ini.















Tinggalkan Balasan