KUALA LUMPUR, 15 Mei — Tumpuan kerajaan terhadap reformasi Ekonomi MADANI yang berteraskan dasar mesra pertumbuhan, program berpaksikan rakyat serta pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, terus memperkukuh momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan itu membolehkan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan daripada 5.2 peratus pada 2024 dan 2025, sebelum meningkat kepada 5.4 peratus pada suku pertama 2026.
“Pada masa sama, pengurusan fiskal yang bertanggungjawab membolehkan kerajaan mengurangkan dampak kenaikan harga bahan api global terhadap rakyat dan perniagaan melalui langkah seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta bantuan yang dipertingkat di bawah BUDI Diesel, di samping terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.
Beliau berkata penciptaan pekerjaan yang berterusan telah menurunkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus, yakni paras terendah dalam tempoh sedekad, manakala inflasi kekal sederhana pada kadar 1.6 peratus sepanjang suku tersebut.
“Perkembangan ini telah membantu menyokong permintaan domestik yang berdaya tahan,” kata beliau.
Anwar berkata keutamaan segera kerajaan adalah untuk memastikan kestabilan ekonomi dan mengurangkan sebaiknya dampak luaran daripada krisis ini terhadap rakyat.
“Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI kekal komited untuk meneruskan reformasi Ekonomi MADANI sambil memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada hasil yang nyata buat rakyat,” kata beliau.
Menurut MOF pengukuhan berterusan nilai ringgit sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, prestasi Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI yang lebih kukuh serta aliran masuk bersih pelaburan langsung asing berjumlah RM22.8 bilion pada suku pertama 2026 mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap ekonomi Malaysia.
Meskipun Ekonomi MADANI telah melaksanakan reformasi yang sekian lama tertangguh dalam pengurusan fiskal dan ekonomi Malaysia, namun Kerajaan MADANI tetap berwaspada terhadap impak konflik di Asia Barat terhadap permintaan global, rantaian bekalan dan kestabilan pasaran, jelas kementerian itu.
Konflik berpanjangan di Asia Barat boleh meningkatkan risiko gangguan berterusan terhadap rantaian bekalan global, terutama melalui kenaikan kos tenaga, logistik dan input pengeluaran, tambah MOF.
“Sekiranya berlanjutan, tekanan ini boleh menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi serta menjejaskan permintaan domestik, meningkatkan kos operasi perniagaan dan seterusnya memperlahankan momentum pertumbuhan ekonomi negara,” menurut MOF.
MOF menjelaskan oleh itu, Kerajaan MADANI telah menubuhkan satu pasukan petugas pengurusan krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara untuk memantau perkembangan dengan rapi serta menyelaras tindak balas dalam masa nyata (real-time) terhadap risiko baharu.
Sehingga 14 Mei, 2026, Kerajaan MADANI telah menyediakan sokongan pembiayaan sebanyak RM15 bilion untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pembiayaan mikro, pinjaman perniagaan dan jaminan, tambahnya.
MOF memaklumkan pelarasan subsidi bahan api bersasar, bersama-sama sokongan berterusan menerusi BUDI95 serta bantuan yang dipertingkat di bawah BUDI Diesel, bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga global terhadap isi rumah dan perniagaan yang layak, di samping menyokong kestabilan ekonomi secara keseluruhan.
Menurut kementerian itu, langkah itu juga dijangka dapat meningkatkan kecekapan subsidi, mengawal peningkatan kos fiskal serta terus mengurangkan ketirisan melalui penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap aktiviti penyeludupan.
Ekonomi Malaysia telah melangkaui jangkaan bagi dua suku berturut-turut dengan pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, walaupun ketidaktentuan global yang semakin meningkat akibat konflik di Asia Barat, tambah MOF.
Momentum yang mampan itu mencerminkan disiplin fiskal dan kecekapan tatakelola Kerajaan MADANI meskipun berdepan dengan ketidakstabilan global yang berterusan, jelas kementerian itu.

















Tinggalkan Balasan