YTL AI Labs Lancar ILMUcode, Platform Teknologi Pengekodan AI Termaju Malaysia

KUALA LUMPUR, 2 Okt — YTL AI Labs Sdn Bhd, cabang penyelesaian kecerdasan buatan (AI) YTL Power International Bhd di bawah YTL Group, melancarkan ILMUcode bagi mempersiapkan rakyat Malaysia menghadapi era baharu pembangunan perisian.

ILMUcode membolehkan pembangun perisian tempatan akses kepada keupayaan pengekodan termaju melalui infrastruktur berdaulat pada kos yang jauh lebih rendah.

Platform itu menggabungkan pembantu pengekodan AI berciri agentik dengan ILMU-GLM-5.3, tambahan terbaharu dalam rangkaian model ILMU yang dibangunkan hasil kerjasama Z.ai.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs Foong Chee Mun berkata ILMU menggabungkan keupayaan AI milik Malaysia dengan teknologi terbaik dari seluruh dunia.

“Kami membangunkan model terunggul kami sendiri dan bekerjasama dengan syarikat AI terkemuka dunia, daripada NVIDIA hinggalah Z.ai, untuk membawa keupayaan mereka ke dalam rangkaian model ILMU, sambil mengekalkan kedaulatan infrastruktur kami.

“Melalui pelancaran ILMUcode, kami mempersiapkan rakyat Malaysia dengan AI termaju bukan sahaja untuk kegunaan biasa, tetapi juga bagi membina penyelesaian berasaskan AI dan menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara AI,” kata beliau.

Platform itu dilancarkan di Universiti Malaya dan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, semalam.

Universiti Malaya akan menjadi universiti pertama di Malaysia yang menyediakan akses kepada pelajar saisn komputer kepada keupayaan pengekodan AI termaju generasi seterusnya menerusi ILMUcode.

ILMUcode memperluaskan lagi rangkaian model ILMU ke bidang pengekodan menerusi kerjasama YTL AI Labs dengan Z.ai, membawa keupayaan model pengekodan termaju GLM-5.3 kepada pembangun di Malaysia melalui infrastruktur AI berdaulat

Menerusi ILMUcode, pembangun, pelajar dan mereka yang ingin menceburi bidang pembangunan perisian boleh mengendalikan keseluruhan proses pembangunan perisian,  termasuk memahami pangkalan kod yang kompleks, menulis dan mengubah suai kod, menyelesaikan masalah, serta menterjemahkan idea kepada perisian yang berfungsi dengan lebih pantas.

Menurut YTL AI Labs, prestasi ILMUcode tersenarai antara model pengekodan terkemuka dunia dalam penanda aras pengekodan seperti Terminal-Bench 2.1 dan DeepSWE.

Ia melengkapkan rangkaian produk AI YTL AI Labs yang semakin berkembang, termasuk ILMUclaw, yang membolehkan pengguna membina ejen AI autonomi dan ILMUchat, platform AI perbualannya.

Pembangun, pelajar dan mereka yang ingin menceburi bidang pembangunan perisian boleh memuat turun dan mula menggunakan ILMUcode hari ini di ilmucode.ai.