25 Maut Dalam Serangan Israel Di Lubnan

BEIRUT, 10 Mei — Sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk dua kanak-kanak maut manakala beberapa lagi cedera dalam serangan Israel di Lubnan pada Sabtu, meskipun perjanjian gencatan senjata sedang berkuat kuasa, menurut Agensi Berita Nasional (NNA) dan Kementerian Kesihatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam serangan terbaharu, satu serangan Israel ke atas bandar Saksakiyeh di selatan Lubnan mengorbankan tujuh orang, termasuk seorang kanak-kanak selain mencederakan 15 yang lain, antaranya tiga kanak-kanak.

Terdahulu, seorang lelaki dan anak perempuannya terkorban selepas satu serangan udara menyasarkan mereka di Nabatieh di selatan Lubnan.

Tiga lagi maut dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah bangunan di kejiranan Al-Bayad di Nabatieh.

Seorang lagi mangsa terkorban dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah motosikal di jalan awam antara bandar Toul dan Doueir di Nabatieh.

Tiga lagi maut apabila satu serangan Israel mengenai sebuah kenderaan di jalan antara bandar Abbasiyah dan Burj Rahal di daerah Tyre.

Israel turut melancarkan tiga lagi serangan ke atas daerah Chouf di tengah Lubnan, mengorbankan enam orang.

Selain itu, sebuah dron Israel menyerang kejiranan Al-Masarib di bandar Meifdoun, dengan laporan awal menunjukkan seorang mangsa terkorban.

Secara berasingan, Israel melancarkan bedilan artileri dan merobohkan rumah di beberapa bandar, syang berlaku serentak dengan pertempuran antara tenteranya dan anggota kumpulan Hizbullah di bandar Al-Bayada.

Bedilan artileri turut menyasarkan bandar Braachit, Safad al-Battikh dan Touline, selain melarat hingga ke Ghazieh dan Froun.

Tentera Israel juga melepaskan suar di ruang udara perkampungan di sektor barat dan tengah selatan Lubnan.

Di daerah Bint Jbeil, tentera Israel merobohkan rumah di kejiranan Al-Jabana, selain melancarkan bedilan artileri di pinggir bandar Ghazieh pada waktu subuh.

Seorang lagi individu terkorban dalam serangan udara di bandar Haris di Bint Jbeil.

Serangan itu turut mengorbankan seorang penduduk dan mencederakan beberapa yang lain di bandar Bedyas di daerah Tyre.

Hizbullah memaklumkan pihaknya menyasarkan dua kumpulan berasingan tentera Israel dan kenderaan tentera di Rshaf di selatan Lubnan.

Kumpulan itu turut mendakwa berjaya memintas sebuah dron Israel di ruang udara al-Abbasiyah menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 17 April lepas yang kemudiannya dilanjutkan hingga pertengahan Mei, tentera Israel terus melakukan serangan harian di Lubnan serta berbalas tembakan dengan Hizbullah.

Serangan Israel di Lubnan sejak 2 Mac lepas, tidak lama selepas perang Iran bermula pada akhir Februari 2026, telah mengorbankan lebih 2,700 orang dan menyebabkan lebih satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal. Israel juga mengekalkan apa yang digelar sebagai “zon penampan” di wilayah Lubnan. Amerika Syarikat (AS) sekali lagi akan menjadi tuan rumah rundingan damai antara kedua-dua pihak pada 14 hingga 15 Mei ini di Washington.