CYBERJAYA, 26 Nov — Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) hari ini mengadakan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dengan National Technology Fund (Ignite) dari Pakistan bagi memperkukuh kerjasama rentas sempadan serta akses pasaran untuk syarikat pemula teknologi.
Pertukaran dokumen MoU itu berlangsung pada acara Demo Day bagi kohort ke-22 Cyberview Living Lab® Accelerator (CLLA) di sini, yang menyaksikan lapan syarikat pemula mengetengahkan penyelesaian serta kemajuan komersial mereka kepada pelabur, rakan kongsi korporat dan pihak berkepentingan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata kerjasama tersebut menterjemahkan komitmen dua hala yang dinyatakan oleh perdana menteri kedua-dua negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Shehbaz Sharif, di Putrajaya tahun lepas. Ia juga menyokong aspirasi Belanjawan 2027 Malaysia untuk menjadikan negara ini hab syarikat pemula global terkemuka menjelang 2030.
“Memandangkan cabaran yang kita hadapi semakin kompleks, tiada individu, institusi atau negara yang boleh melakukan kesemuanya. Inovasi secara meluas merupakan satu usaha kolektif; ekosistem yang akan berkembang maju ialah ekosistem yang kekal terbuka kepada bakat, idea dan peluang yang melangkaui sempadan negara sendiri.
“Apa yang kita hubungkan hari ini bukan sekadar dua pasaran malah kita menggabungkan dua ekosistem inovasi yang mempunyai keupayaan saling melengkapi, bagi mempercepat perjalanan daripada peringkat penciptaan sehingga terhasilnya impak. Dengan langkah ini, kita memperkukuh peranan Cyberjaya sebagai pintu masuk bagi syarikat teknologi yang berhasrat untuk berkembang di seluruh rantau ASEAN,” katanya semasa berucap pada acara ‘Demo Day’ CLLA kohort ke-22 di sini hari ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Ahsan Raza Shah berkata perkongsian itu menterjemahkan komitmen diplomatik kepada hasil ekonomi yang praktikal bagi usahawan di kedua-dua negara.
“Melalui perkongsian ini, syarikat pemula Pakistan berpeluang meneroka Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, berinteraksi dengan pelabur serta komuniti perniagaan Malaysia dan meraih manfaat daripada inisiatif inkubasi, pemecutan, bimbingan serta pembangunan kapasiti yang disediakan menerusi ekosistem inovasi Cyberview,” katanya.
Kerjasama itu katanya akan memudah cara akses pasaran dua hala dengan menghubungkan syarikat pemula dengan pelabur, pembeli korporat dan rangkaian industri, yang disokong oleh bimbingan merentasi sempadan, pertukaran pengetahuan serta penglibatan industri secara bersama.
Syarikat pemula Pakistan turut berpeluang menyertai program pemecutan dan inkubasi di Cyberjaya; syarikat yang layak boleh meneroka insentif sedia ada untuk menubuhkan operasi serantau di Cyberjaya, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pembangunan Hab Teknologi Cyberview Shafinaz Salim berkata CLLA berfungsi sebagai pemacu strategik dalam pembangunan ekosistem teknologi Cyberjaya sekali gus mempercepat pengkomersilan teknologi baharu di Malaysia.
Melalui akses kepada kepakaran industri, bimbingan, persekitaran ujian dunia sebenar dan rangkaian komersial, program berkenaan mendekatkan pengasas dengan industri serta pasaran yang disasarkan oleh penyelesaian mereka.
“Nilai sebenar sesebuah program pemecut terletak pada seberapa pantas para pengasas dapat belajar. Dalam persekitaran kecerdasan buatan (AI) mengubah cara kita menjalani kehidupan, bekerja dan menjalankan perniagaan, keupayaan untuk menguji andaian, mengenal pasti perkara yang tidak berkesan serta menambah baik penyelesaian menjadi semakin penting.
“Dengan menghubungkan pengasas bersama pakar industri, pelabur dan usahawan lain, kami menyegerakan proses pembelajaran tersebut.
“Akhirnya, ia bukan sekadar membawa penyelesaian ke pasaran dengan lebih pantas, malah memastikan penyelesaian yang dibawa adalah lebih baik, penyelesaian yang memenuhi keperluan sebenar dan berpotensi memberikan nilai komersial yang berkekalan,” katanya.
Sehingga Jun 2026, CLLA telah membimbing 177 syarikat pemula yang secara kolektif berjaya meraih pelaburan melebihi RM389 juta, menjana hasil terkumpul lebih RM915 juta serta mewujudkan 1,900 peluang pekerjaan.
Sepanjang program selama empat bulan itu, beberapa syarikat pemula telah menunjukkan kemajuan komersial yang menggalakkan.
NCSpeech, yang kini dikenali sebagai Phyld, memperoleh nilai kontrak berjumlah US$450,000 (US$1=RM4.12) melalui perjanjian dengan syarikat korporat serta projek rintis berbayar manakala WorkAce AI mencatatkan hasil sebanyak RM1 juta.
Vespid berjaya mendapatkan pelanggan berbayar daripada kalangan syarikat perkhidmatan kewangan sementara Flipbizz berkembang daripada sebuah platform kesediaan kerjaya kepada platform pemerolehan bakat yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI).
Platform itu kini bersedia untuk pengembangan global dengan ciri analisis kesesuaian pekerjaan dan dalam proses menembusi pasaran Filipina dan Singapura.
Kumpulan syarikat tersebut telah berjaya mengumpul dana berjumlah RM1.06 juta, yang mencerminkan keyakinan tinggi daripada pelabur modal teroka, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan korporat terhadap syarikat-syarikat yang terlibat.
Dalam acara kemuncak Demo Day, Algae Decarbon berjaya mengungguli dua kategori iaitu ‘Best Pitch’ (pembentangan terbaik) dan ‘Crowd Favourite’ (pilihan ramai) dengan hadiah wang tunai berjumlah RM2,000.
Zephyron pula memenangi ‘Most Innovative’ (paling inovatif) dengan menerima RM1,000 manakala NCSpeech diumumkan sebagai ‘Judges’ Favourite’ (pilihan juri) dan membawa pulang wang tunai RM5,000.











Tinggalkan Balasan