JAKARTA, 11 Okt — Indonesia dan Mesir bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, pertahanan dan maritim, dengan Kaherah menawarkan tambahan biasiswa kepada pelajar Indonesia susulan perbincangan antara pemimpin kedua-dua negara di Jakarta pada Ahad.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata komitmen itu dicapai dalam perbincangan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi yang bertujuan memperkukuh perkongsian strategik kedua-dua negara.
“Kami menghargai tawaran Mesir untuk menambah biasiswa, khususnya dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sains,” katanya pada sidang media bersama sambil menambah kedua-dua negara akan memperluas pertukaran pelajar, kerjasama antara universiti dan penyelidikan bersama.
Dalam bidang pertahanan, Prabowo berkata kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama industri pertahanan, pendidikan dan latihan bersama serta pertukaran melibatkan pemimpin dan pakar ketenteraan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Mesir atas sokongan terhadap kapal Tentera Laut Indonesia yang melaksanakan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Asia Barat.
Dalam bidang maritim, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama dalam pembangunan mampan, pemuliharaan sumber marin, membanteras penangkapan ikan secara haram serta pertukaran kepakaran.
Prabowo berkata lawatan itu turut menghasilkan beberapa perjanjian dua hala meliputi bidang maritim dan perikanan, statistik, pelaburan, kerjasama industri pertahanan, perdagangan dan kerjasama ekonomi, selain pelan tindakan bagi memajukan perkongsian strategik kedua-dua negara.
El-Sisi tiba di Jakarta pada Sabtu selepas melawat Malaysia, menandakan lawatan negara pertamanya ke Indonesia dalam tempoh 11 tahun. Kali terakhir beliau melawat negara itu adalah pada September 2015 ketika bertemu Presiden ketika itu Joko Widodo.










Tinggalkan Balasan