TOKYO, 13 Jun – Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba berkata pada Jumaat bahawa Tokyo akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan dalam Kumpulan Tujuh (G7) bagi membantu meredakan ketegangan di Timur Tengah susulan serangan tentera Israel ke atas Iran, lapor agensi berita Kyodo.
Beliau berkata Jepun akan menyatakan pendiriannya semasa Sidang Kemuncak G7 yang akan datang di Kanada, yang dijadual bermula Isnin, sambil menekankan kepentingan usaha antarabangsa yang diselaraskan bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.
Ishiba, yang turut mengecam serangan Israel, menyifatkan tindakan itu sebagai “sama sekali tidak boleh diterima” dan “amat dikesali.”
“Segala tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan mesti dielakkan,” katanya kepada media, merujuk kepada serangan Israel dan tindak balas yang dilaporkan daripada pihak Iran.
Jepun, yang secara tradisinya mengekalkan hubungan baik dengan Iran berikutan kebergantungan terhadap bekalan minyak mentah dari negara itu, telah lama mengamalkan pendekatan diplomatik yang seimbang di rantau berkenaan.
Terdahulu pada Jumaat, Israel mengumumkan telah melancarkan serangan ke atas “berpuluh-puluh sasaran ketenteraan” di Iran, termasuk kemudahan nuklear.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata operasi ketenteraan itu akan diteruskan “selama mana yang diperlukan untuk menghapuskan” ancaman.
Sementara itu, Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya dalam satu sidang media berkata keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah “amat penting” bagi Jepun dan menggesa semua pihak agar mengamalkan “tahap kawalan diri yang maksimum.”
Iwaya turut memaklumkan bahawa Tokyo akan mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan rakyat Jepun di rantau itu.
Tinggalkan Balasan