PHNOM PENH, 15 Jun — Kemboja mempelawa Thailand untuk bersama-sama menyelesaikan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), menyifatkan ia sebagai pilihan terbaik untuk menamatkan pertikaian yang berlarutan itu.
Menteri Kemboja yang bertanggungjawab terhadap Sekretariat Negara bagi Hal Ehwal Sempadan, Lam Chea berkata merujuk perkara tersebut kepada ICJ akan memastikan penyelesaian yang adil dan tidak berpihak terhadap isu sempadan itu.
Beliau berkata empat kawasan yang menjadi pertikaian – termasuk Mom Bei dan kompleks kuil Ta Moan Thom, Ta Moan Tauch serta Ta Krabei – tidak lagi dimasukkan dalam mesyuarat akan datang Suruhanjaya Sempadan Bersama Kemboja-Thailand (JBC).
“Kemboja akan memulakan prosiding undang-undang secara bersendirian, walaupun Thailand menolak bidang kuasa ICJ,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat keenam JBC Kemboja-Thailand di sini.
Mesyuarat dua hari itu diadakan selepas 12 tahun terhenti dan berakhir pada Ahad.
Delegasi Thailand diketuai oleh Penasihat Hal Ehwal Sempadan Kementerian Luar Thailand, Prasas Prasasvinitchai.
Dalam mesyuarat itu, delegasi Kemboja turut menolak peta yang dilukis oleh Thailand.
“Sehubungan itu, pihak Kemboja dengan tegas menolak peta yang dilukis dan digunakan secara unilateral oleh pihak Thailand, yang menjadi punca utama pertikaian sempadan pada masa lalu, kini dan berpotensi pada masa hadapan,” kata Lam.
Pada pagi Ahad, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet berkata kerajaan telah menyerahkan pertikaian wilayah itu kepada ICJ bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang berpanjangan itu.
Kemboja menegaskan komitmennya untuk memupuk keamanan, persahabatan dan kerjasama sempadan dengan Thailand berdasarkan dokumen sah dan peta yang dipersetujui bersama seperti yang digariskan dalam Memorandum Persefahaman 2000.
Negara itu akan bekerjasama melalui mekanisme JBC bagi memajukan usaha pengukuran sempadan, persempadanan semula dan pemasangan penanda sempadan.
Kedua-dua negara terlibat dalam pertikaian itu selepas seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam insiden pertempuran antara tentera Kemboja dan Thailand berhampiran wilayah Preah Vihear di utara negara itu pada 28 Mei.
Thailand akan menjadi tuan rumah mesyuarat JBC seterusnya pada September 2025.
Tinggalkan Balasan