Forum Kerjasama dan Tadbir Urus Maritim ke-7 yang berlangsung di Sanya, provinsi Hainan dari 6 hingga 8 November ini, memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran keselamatan dan tadbir urus maritim global.
Forum berkenaan juga menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk bertukar-tukar pandangan dan idea berhubung isu keselamatan maritim, peraturan antarabangsa, perlindungan ekologi dan pembangunan ekonomi biru.
Ini juga termasuk membincangkan mengenai laluan memperkukuh kerjasama maritim antarabangsa dan memperkukuh tadbir urus maritim global.
Pada edisi kali ini, Laporan Keselamatan Maritim Global 2025–2026 turut diterbitkan dengan menjadikan Laut China Selatan sebagai rujukan penting dalam menilai landskap keselamatan maritim global.
Menurut laporan berkenaan, situasi keadaan maritim global masih perlu diberi perhatian dengan mengambil kira pertikaian tradisional, risiko keselamatan laluan pelayaran, serta isu-isu bukan tradisional seperti kegiatan lanun, bencana iklim dan kemerosotan ekologi maritim.
Laporan yang diterbitkan itu turut mengenal pasti ketidaksepaduan dalam mekanisme tadbir urus maritim sedia ada. Justeru, laporan berkenaan mencadangkan agar Laut China Selatan menjadi kawasan perintis tadbir urus maritim dengan mengambil pendekatan secara berperingkat bermula kerjasama dua hala, sebelum diperluas kepada usaha pelbagai hala melibatkan bidang seperti perlindungan alam sekitar.
Ini juga termasuk menyelaraskan pelaksanaan Perjanjian Kepelbagaian Biologi Marin, menggalakkan tindakan sinergi pelbagai peringkat, tindakan bersama bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan maritim, serta membina komuniti berkongsi nasib maritim.
Menurut Penolong Menteri Luar China, Zhao Zhiyuan, China bersedia meningkatkan dialog kepercayaan bersama dan kerjasama praktikal dengan negara-negara ASEAN, serta bersama-sama melaksanakan Deklarasi mengenai Tingkah Laku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC).
Ujarnya, komitmen itu termasuk mempercepatkan rundingan Kod Tingkah Laku di Laut China Selatan (COC), secara aktif mengamalkan tadbir urus maritim serantau yang adil dan munasabah demi mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dengan berkesan.











Tinggalkan Balasan