Laporan: Macron Sedia Sokong Wenger Jika Bertanding Jawatan Presiden FIFA

MUNICH, 13 Nov — Presiden Perancis Emmanuel Macron menawarkan sokongan kepada Arsène Wenger dalam kempen mencabar Gianni Infantino bagi merebut jawatan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik akhbar The Telegraph.

Menurut laporan itu, Macron berhasrat melobi pemimpin dunia lain supaya menyokong Wenger.

Bekas pengurus Arsenal itu masih belum memutuskan sama ada akan bertanding menentang Infantino, namun Macron dilaporkan telah menghubungi rakan senegaranya itu bagi memujuknya mengemukakan pencalonan.

Tarikh akhir penyerahan pencalonan adalah pada Rabu depan dan Wenger dilaporkan antara calon yang berpotensi mendapat sokongan badan induk bola sepak Eropah, Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Menurut maklumat dpa, Wenger dijadual membuat keputusan minggu ini sama ada akan bertanding pada pemilihan yang berlangsung Mac depan.

Setakat ini, selain Infantino, hanya Ahli Majlis FIFA dari Jepun Kozo Tashima telah mengemukakan permohonan pencalonan. Bagaimanapun, beliau dianggap tidak mempunyai peluang realistik untuk dipilih.

UEFA merupakan antara pengkritik terbesar Infantino, namun masih belum menamakan calonnya sendiri.

Infantino berdepan kecaman susulan pelan pelaburan swasta Piala Dunia yang gagal dan mencetuskan kontroversi besar. Pelan itu dibatalkan pada Ogos selepas tiga konfederasi benua menolaknya serta UEFA mengancam untuk memboikot kejohanan anjuran FIFA.

Bagaimanapun, penyandang jawatan Presiden FIFA itu baru-baru ini memperoleh sokongan daripada konfederasi Afrika, Asia dan Amerika Selatan yang sekali gus memberikannya majoriti untuk memenangi penggal keempat.