Letusan Anak Krakatau: SIA Sedia Lapan Penerbangan Tambahan Untuk Penumpang Terjejas

SINGAPURA, 8 Sept — Singapore Airlines (SIA) menyediakan lapan penerbangan tambahan pada Selasa untuk penumpang yang terjejas akibat aktiviti gunung berapi susulan letusan Gunung Anak Krakatau di Indonesia.

Dalam makluman terkini yang dimuat naik di laman sesawangnya, syarikat penerbangan itu berkata penerbangan tambahan berkenaan disediakan bagi memindahkan penumpang yang terjejas akibat gangguan penerbangan sebelum ini, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk.

“SIA akan mengatur semula tempahan penumpang terjejas secara berperingkat ke penerbangan seterusnya yang tersedia apabila penerbangan antara Singapura dan Jakarta kembali beroperasi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, syarikat penerbangan berkenaan turut menjadualkan semula enam penerbangan pada Selasa iaitu SQ950, SQ952 dan SQ956 dari Singapura ke Jakarta, serta SQ953, SQ955 dan SQ957 dari Jakarta ke Singapura.

Semua penerbangan lain ketika ini beroperasi mengikut jadual, menurut SIA.

Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan dua lagi lapangan terbang di Indonesia kembali beroperasi awal Selasa selepas pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan selamat, menurut pihak berkuasa lapangan terbang.