NEW YORK, 7 Mei — Sebuah mahkamah di New York pada Rabu mendedahkan satu dokumen yang didakwa ditulis oleh mendiang pesalah seks Jeffrey Epstein, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Hakim Daerah Kenneth Karas membenarkan permohonan The New York Times, yang sebelum ini melaporkan mengenai surat itu dan memohon supaya dokumen berkenaan didedahkan.
Kesahihan nota itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Sehingga kini, dokumen berkenaan bukan sebahagian daripada siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan Times yang memetik seorang bekas rakan sel Epstein, dokumen itu didakwa ditemukan dalam sebuah novel grafik selepas cubaan bunuh diri pertama pesalah seks itu pada Julai 2019.
Bekas rakan sel itu dilaporkan menyerahkan dokumen berkenaan kepada peguamnya bagi menafikan dakwaan bahawa dia menyerang Epstein.
Dokumen yang didakwa ditulis oleh Epstein itu menyatakan: “Mereka menyiasat saya selama berbulan-bulan — TIDAK MENEMUKAN APA-APA!!! Ia satu kelegaan apabila dapat memilih sendiri waktu untuk mengucapkan selamat tinggal.”
Nota itu diteruskan: “Apa yang kamu mahu saya lakukan — menangis tersedu-sedu!!”
Penulis nota itu mengakhiri dokumen berkenaan dengan perkataan “TIADA KESERONOKAN” yang digaris, diikuti “TIDAK BERBALOI!!”
Nama Epstein tidak disebut dalam nota itu, yang juga tidak ditandatangani.
Epstein, seorang ahli kewangan dari New York, selama bertahun-tahun bergerak dalam kalangan elit sosial dan menjalin hubungan dengan tokoh berpengaruh.
Pendakwa raya berkata jutawan AS itu menjalankan rangkaian penderaan selama bertahun-tahun yang menyaksikan puluhan wanita muda dan kanak-kanak bawah umur menjadi mangsa.
Epstein dituduh melakukan penderaan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di beberapa lokasi termasuk New York dan Florida.
Dakwaan itu mula dibawa ke mahkamah kira-kira dua dekad lalu, apabila Epstein mengaku bersalah terhadap beberapa pertuduhan. Beberapa tahun kemudian, kes itu dibuka semula dan Epstein ditahan sekali lagi.
Sebelum keputusan lanjut dicapai, Epstein meninggal dunia di sel penjara New York pada 2019 ketika berusia 66 tahun.
Laporan bedah siasat memutuskan kematiannya sebagai bunuh diri.













Tinggalkan Balasan