Meta Guna AI Kesan, Padam Akaun Pengguna Bawah 13 Tahun

BERLIN, 5 Mei — Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Meta, pada Selasa mengumumkan rancangannya untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi menentusahkan usia pengguna muda, bertujuan mengeluarkan kanak-kanak berumur bawah 13 tahun daripada platformnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perisian yang disokong AI itu bukan sahaja akan menganalisis data profil berasaskan teks, malah turut menilai konteks imej, komen, dan video  pada platform milik syarikat itu seperti Facebook, Instagram, Threads, dan WhatsApp.

Menurut syarikat itu, sekiranya perisian berkenaan mengesan elemen seperti belon atau kek hari jadi ke-11, akaun itu akan diklasifikasikan sebagai akaun kanak-kanak dan akan dipadamkan setelah pengesahan dibuat.

Pengguna yang terkesan boleh mencabar keputusan berkenaan dan mengemukakan bukti umur melalui dokumen pengenalan diri.

Meta juga akan menggunakan AI untuk mengenal pasti remaja sehingga usia 17 tahun yang menyamar sebagai orang dewasa dengan menilai corak tingkah laku, termasuk akaun yang mereka ikuti.

Sekiranya usia palsu dikesan, profil berkenaan akan ditukarkan secara automatik kepada akaun remaja.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Eropah menuduh Meta gagal melindungi golongan muda dengan secukupnya.

Brussels telah menuntut Instagram dan Facebook supaya menguatkuasakan had umur minimum 13 tahun, dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan syarikat itu dikenakan denda yang besar.

Bagi tempoh jangka panjang, suruhanjaya itu mewajibkan semua platform media sosial menggunakan aplikasi EU bagi tujuan pengesahan umur.

Bagaimanapun, Meta menyokong pengesahan umur secara berpusat semasa menetapkan telefon pintar pada peringkat sistem pengendalian atau gedung aplikasi, berbanding menyerahkan proses pengesahan kepada setiap aplikasi secara berasingan.

Beberapa negara EU seperti Austria, Perancis, dan Sepanyol kini sedang dalam perbincangan untuk mengenakan larangan sepenuhnya terhadap media sosial bagi golongan muda bawah usia tertentu, dengan cadangan had umur 15 atau 16 tahun. Australia pula telah pun menguatkuasakan larangan seumpama itu.

Setakat ini, Suruhanjaya Eropah menolak cadangan larangan mutlak dan sebaliknya lebih cenderung kepada pengesahan teknikal yang lebih ketat.