Minggu Kerjasama Rakan Media ASEAN 2026 membuka tirainya di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi pada Sabtu, dengan menghimpunkan hampir 200 wakil kerajaan, diplomat, pengamal media, pakar dan ahli akademik dari China serta negara-negara ASEAN.
Program anjuran bersama Kumpulan Media China (CMG) dan kerajaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi itu bertemakan “Kecerdasan, Kesalinghubungan dan Masa Depan Dikongsi Bersama”.
Naib Presiden CMG Qi Zhuquan berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-35 hubungan dialog China-ASEAN dan ulang tahun kelima pembentukan perkongsian strategik komprehensif China-ASEAN, selain tahun pertama pelaksanaan Rancangan Lima Tahun ke-15 China (2026–2030).
Beliau berkata CMG akan terus memperkukuh keupayaan komunikasi antarabangsanya menerusi 85 perkhidmatan bahasa, platform media bersepadu CGTN dan 192 biro luar negara.
Menurutnya, CMG juga komited memperluas kerjasama dengan organisasi media ASEAN dalam bidang penerbitan program, pertukaran tenaga kerja, perkongsian teknologi dan perancangan aktiviti bersama.
“Usaha ini memperkasa penggunaan teknologi dalam industri media, memperluas penyebaran maklumat secara bersama dan menghubungkan sumber media, sekali gus menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih erat,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Jabatan Publisiti Jawatankuasa Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi Parti Komunis China (PKC) Chen Yijun berkata kedudukan geografi dan hubungan budaya yang rapat menjadikan Guangxi penghubung penting antara China dengan negara-negara ASEAN.
Beliau berkata hubungan tersebut menyediakan asas kukuh untuk memperluas pertukaran antara rakyat serta kerjasama media dan komunikasi serantau.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pengumuman beberapa pencapaian kerjasama terbaharu dan pelancaran inisiatif bersama.
Antaranya ialah pelancaran Laporan Inovasi Digital dan Kecerdasan Media China-ASEAN yang menganalisis cabaran serta peluang transformasi digital dan penggunaan teknologi pintar dalam industri media, seiring dengan perkembangan baharu kerjasama serantau.
Laporan itu turut mengemukakan beberapa cadangan, termasuk pembinaan mekanisme bersama, perkongsian teknologi, penyelarasan tadbir urus dan pembangunan bakat.
Cadangan tersebut menyediakan rujukan dalam penggubalan dasar, penyelarasan strategi serta usaha memperkukuh persefahaman dan hubungan antara rakyat China dan ASEAN.













Tinggalkan Balasan