CANBERRA, 2 Jun — Hasil tuaian gandum tahunan Australia dijangka merosot sebanyak 26 peratus berbanding tahun lepas susulan peningkatan harga baja akibat konflik di Asia Barat, menurut laporan kerajaan.
Laporan komoditi pertanian yang diterbitkan oleh Biro Ekonomi dan Sains Sumber dan Pertanian Australia (ABARES) pada Selasa menyatakan bahawa pengeluaran gandum negara diunjur turun kepada 26.7 juta tan pada 2026-27, penurunan sebanyak 26 peratus berbanding 2025-26 dan lapan peratus di bawah purata bagi tempoh 10 tahun, lapor Xinhua.
Laporan tanaman berasingan yang turut diterbitkan oleh ABARES pada Selasa menunjukkan jumlah kawasan tanaman gandum diunjur mengecil sebanyak 12 peratus kepada 10.9 juta hektar pada 2026-27, sekali gus menjadi keluasan terkecil sejak 2019-20.
Secara keseluruhan, laporan itu menyatakan bahawa pengeluaran tanaman musim sejuk Australia dijangka merosot sebanyak 21 peratus tahun ke tahun kepada 54.5 juta tan.
Menurut laporan komoditi itu, ramai pengusaha dijangka membiarkan tanah yang telah dibajak tanpa ditanam ekoran peningkatan harga bahan api dan baja, selain faktor cuaca kering serta ramalan taburan hujan musim sejuk yang di bawah paras purata di negara itu.
“Kesan konflik Timur Tengah adalah signifikan kepada sektor pertanian Australia kerana sektor ini berorientasikan eksport dan sistem pertaniannya menggunakan bahan import seperti bahan api, baja, bahan kimia serta pembungkusan sebagai input,” menurut laporan itu.
Berdasarkan data ABARES, harga eksport bijirin dan minyak bijian Australia meningkat sekitar 20 peratus sejak konflik di Timur Tengah bermula, namun harga domestik bagi urea melonjak lebih 80 peratus dalam tempoh yang sama.
Susulan kemerosotan pengeluaran tanaman musim sejuk itu, biro berkenaan mengunjurkan jumlah nilai keseluruhan pengeluaran pertanian Australia akan turun sebanyak lima peratus kepada A$98.3 bilion (US$70.5 bilion) pada 2026-27.
Nilai eksport pertanian juga dijangka merosot sembilan peratus kepada A$74.8 bilion (US$53.6 bilion), kata laporan itu.












Tinggalkan Balasan