Perbincangan Menteri Luar China, Mongolia Amat Berhasil

China dan Mongolia harus berdiri bersama dalam segala susah dan senang serta terus berusaha ke arah membina komuniti berkongsi nasib berasaskan prinsip hidup bersama secara aman, menyokong antara satu sama lain dan kerjasama saling untung.

Kenyataan itu dibuat Menteri Luar China Wang Yi dalam sesi bertemu media bersama rakan sejawatnya dari Mongolia, Batmunkh Battsetseg di Ulan Bator pada Sabtu lalu.

Wang berkata perbincangan beliau dengan Battsetseg menyaksikan konsensus mengenai hubungan bilateral dan kerjasama serantau dicapai.

Tatkala situasi global tidak menentu dan pelbagai cabaran semakin menonjol, kedua-dua negara berikrar untuk mengekalkan hubungan kejiranan yang saling membantu dan mempercayai antara satu sama lain, ujar beliau.

Wang memetik unjuran institusi antarabangsa sebagai berkata, setiap peningkatan satu mata peratusan dalam pertumbuhan ekonomi China akan menyumbang kepada peningkatan eksport sebanyak 4 peratus serta 0.6 peratus pertumbuhan ekonomi Mongolia.

Perkara ini memperlihatkan tahap kesalinglengkapan yang tinggi dalam hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, jelas beliau.

China menyokong usaha Mongolia dalam memajukan pembangunan sosioekonomi, kata beliau sambil menambah bahawa peluang dijana pembangunan China juga tersedia kepada Mongolia.

Menurut Wang, kedua-dua pihak sepakat memperkukuh koordinasi di bawah mekanisme pelbagai hala seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sambil menyumbang kepada keamanan, pembangunan dan kerjasama serantau.